Resepi Apam Mekar

Apa yang kita harapkan tidak selalunya menjadi kenyataan.
Belajarlah menerima sesuatu perkara dengan lapang dada.
InshaAllah hati akan jadi lebih tenang dan bahagia.
  
Sebenarnya dalam mood sedih dan hampa ni. Tapi biarlah……..esok lusa, pasti perasaan ini akan berlalu pergi.
  

Teringat pula janji pada Diary ini untuk berkongsi resepi. Hmmm, kat bawah ni resepi apam mekar yang telah dibuat berkali-kali. Senang je membuatnya dan bahan-bahannya pun tak banyak.  

Layan gambar apam dulu ek....   




RESEPI APAM MEKAR  J - guna cawan metrik

2 biji telur – gred B je                
¾ cawan gula halus                  
1 sudu kecil ovolatte
1 cawan ice cream soda F&N 
1 sudu kecil esen vanilla
2 cawan tepung gandum            
Pewarna ikut suka
Paper cup dan acuan kecil


Cara :-

Panaskan kukusan terlebih dahulu.
Pukul Telur + Gula + Ovollate sehingga berkrim – jadi warna putih
Masukkan esen vanilla. – pukul rata.
Masukkan ice cream soda + tepung berselang seli dan gaul rata
Bahagikan kepada 2 atau 3 bahagian, warna ikut suka
Masok dlm bekas dan kukus dlm 10 minit

** Letakkan paper cup dalam acuan kecil2 (acuan lompang atau muffin)
     Letak adunan dalam paper cup tu…

**Kalau xde paper cup, dicadangkan sapu dalam acuan lompang dengan sedikit minyak, baru letak       adunan tadi.





Bingka Pandan dengan Pemanggang Ajaib


Sekadar nak berkongsi resepi. Lagipun dah lama tak update blog kan….

Mula-mula sekali nak ucapkan berbanyak-banyak terimakasih pada rakan blogger – ‘Kak Ja’ yang telah berkongsi resepi bingka dengan kaedah membakar menggunakan alat Pemanggang Ajaib tu dalam FB beliau. Jadinya pada satu malam di minggu yang lepas, semangat la nak mencuba pulak. Wahhh…..memang best resepi ni. Tapi biasalah kan…., ada juga yang ku tukar ganti. Ngeh….ngeh…ngeh….

Bahan2
2 cawan tepung gandum      - (guna cawan metric)
1 cawan gula                    
1 cawan air pandan            
(yg ni aku guna pewarna hijau + esen pandan sikit je)
3 cawan santan                   
(huwaa……. Tinggi kolestrol tu…so, memandai tukar resepi jadikan
 1 cawan santan + 1 cawan susu sejat + 1 cawan air. Tak larat la guna santan banyak sangat)
3 biji telur
½ sudu kecil garam
2 sudu besar mentega
Sedikit bijan (tapi tak letak pun)

Resepi Asal : Masukkan semua bahan kecuali Bijan ke dalam alat pengisar (blender) sampai sebati. Letak sedikit minyak dalam pemangang ajaib tu. Tuang adunan dan bakar

Cara aku plak :-

1) Mula-mula cairkan dulu buttercup tu. Biar sejuk.
2) Pukul telur dgn gula dulu guna whisk je tak payah hancur pun gula tu hanya
    sebatikan aje.
3) Masukkan masuk tepung dan Air pandan + dengan santan sekali. Godek2 dengan  
    whisk sampai tepung sebati dgn cecair…
    Kemudian baru masukkan 1 cawan susu sejat dan 1 cawan air biasa tuh..gaul sebati sehingga         tiada lagi tepung yang berbintil-bintil.
    (Adunan agak cair tau….baru le masukkan buttercup yg dah dicairkan itu + dgn  garam sekali.
4) Letak/Sapu sedikit minyak ke dalam Kuali Pemanggang ajaib. Masukkan adunan tepung  
5) bakar atas dapor dalam api yg sederhana selama 15-20minit. Kemudian terbalikkan   

    kuali pemanggang ajaib secara berhati-hati dan bakar sehingga masak.


Pengalaman bakar bingka dengan pemanggang ajaib:-

Emmmm….. adunan yang mula-mula letak tu penuh sangat kut…so, bila adunan tu mengelegak….ianya meleleh keluar…dan magnet pemanggang pun terbukak…habis dapor jadi sememeh. Eeiiiii…….tak sukalah bab ni…

Adunan yg kedua letak sikit… baru ok.  Kelebihan guna alat ni ialah ianya mempercepatkan  waktu memasak.

Kesimpulannya…… Resepi ni memang best. Tapi kan, kalau nak buat lagi gunakan ajelah acuan bingka yang sedia ada tu. Lagi senang.  Letak semua adunan sekali. Tak perlu asyik nak jengah dapor tu sangat. 

Ok, lepas ni bercadang nak update resepi apam mekar dengan ice cream soda tu pulak. Tungggguuuu.............





Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.


Di kesempatan ini, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam AidilFitri kepada semua pengunjung blog yang beragama Islam yang sudi singgah ziarah ke blog ini.
Bagaimana persiapan kalian untuk menyambut hari lebaran? Bagi diriku, persiapan ala kadar sahaja. Cukuplah asalkan anak-anak tetap gembira dihari raya.

Maaf kerana aku tidak punya kesempatan untuk menulis panjang lebar dan membebel di ruang ini. Mungkin di lain waktu yang lapang akan panjanglah sedikit bebelan.


Apapun, sempena menjelang hari mulia, maaf dipinta jika ada salah dimana-mana. Kita kan manusia biasa. Pada yang ingin memulakan perjalanan yang jauh untuk pulang berhari raya tu, pandulah dengan cermat. Semoga selamat sampai ke destinasi yang di tuju.


SELAMAT HARI RAYA

MAAF ZAHIR & BATIN

Keturunan Daeng Selili la pulak....


Awal bulan Jun tahun ini, aku baru mengetahui bahawa diri ini adalah merupakan keturunan dari susur galur Daeng Selili yang terkenal di Negeri Perak, Kini sudah jurai yang ke 10 dan 11 dan mungkin juga ada yang ke 12 barangkali.

Berita itu membuatkan aku mula mencari dan membaca kembali cerita-cerita sejarah silam.
Siapa dia yang bernama Daeng Selili itu? Dalam pembacaan yang belum lagi ada titik nokhtahnya ini, nama-nama seperti Nahkota Hitam, Daeng 5 bersaudara, Megat Terawis juga nama dari raja-raja Perak pastinya akan terkait sama dalam artikel-artikel yang banyak terdapat dalam dunia tanpa sempadan. Terimakasih En. Google atas kerjasama yang sungguh hebat dalam mencari jejak warisan.  J

Wahhh…… seolah-olah aku ni belajar “Sains Politik” le pulak hai… Namun yang pasti membaca sejarah yang berkisar pada kurun ke 13 hingga 18 merupakan satu topik yang sungguh menarik. Betapa banyak sejarah yang diganggu oleh pihak penjajah atas kepulauan Nusantara ini. Banyak sejarah yang digelapkan atau dihilangkan ataupun didiamkan begitu sahaja atas faktor-faktor tertentu. Contoh terbaik macam mana dikatakan bahawa Kerajaan Pasai adalah kerajaan pertama islam di Nusantara sedangkan ada sesetengah artikel yang mengatakan bahawa Islam telah ada pada zaman kerajaan Perlak lagi.

Kenapa ye masa zaman sekolah dulu aku tak minat sangat dengan sejarah? Tapi kini terbalik le pulak dah….. mungkin juga sebab dulu membaca sejarah sekadar untuk lulus ujian/peperiksaan sahaja. Tetapi kini membaca sejarah menjadi lebih bererti kerana setiap orang patut tahu asal usul keturunan mereka. Cuma yang payah nak faham tu kenapa orang dulu-dulu mempunyai nama gelaran yang banyak.  Yang agak sama pulak tu. Hadoiii laa….fening-fening…..konpius jadinya. Hehe… J

Yang aku tahu moyangku bernama Meor Abdul Rais berkahwin dengan Syarifah Habsah dan ketika usia masih kecil zaman sekolah rendah aku sempat bertemu dan bermesra dengan arwah moyang perempuanku ini ketika balik kampong di Kuala Kangsar, Perak.

Apapun, mencari susur galur ini bukanlah untuk mencari kemegahan atau habuan dunia semata-mata akan tetapi sejarah salasilah keluarga sepatutnya diturunkan dari generasi ke generasi. Biar anak cucu sekelian tahu siapa moyang-moyang mereka terdahulu. Walau siapapun keturunan kita yang pasti kita semua adalah dari keturunan Nabi Adam as.

Sekian. Bila ada waktu lapang pasti kembali menyambung pembacaan dan semoga aku berjaya mengali sejarah silam.


Pilihanraya sudah selesai, sekarang masa untuk bekerja



Gossip politik riuh berkicau
Umpama anak burung kelaparan
Mereka yang menang berjiwa kacau
Yang kalah pula jadi panasaran


Oleh itu sahabat sekelian, bersiasahlah secara matang. Apa perlunya di nyalakan api perkauman? Kelak kita sendiri yang merana badan. Ambillah iktibar dari sejarah silam. Kemuliaan dan kejayaan seseorang bukan diukur dari segi bangsa dan keturunan tapi iman, takwa, akhlak dan ilmunya yang menjadi perhatian.


(Mood menyampah dengan cadangan untuk memboikot perniagaan milik pengusaha cina – adoiiii…….. sungguh tidak cerdik rasanya cadangan ini. Bayangkan bila pasar borong di tutup untuk beberapa hari yang kebanyakkannya di monopoli oleh kaum ini pun sudah menyusahkan ramai orang, inikan pula nak boikot mereka? Hmmm…… fikir-fikirkan.  Mana pergi sifat daya saing orang kita? )


Pilihanraya sudah selesai
Sekarang masa untuk bekerja
Apa yang ingin kita capai
Lima tahun lagi penentunya


Sebagai rakyat biasa, kita berhak bersuara untuk menegur kepimpinan negara dan negeri jika mereka salah bekerja. Tak kiralah dari parti mana sekalipun. Kita yang undi mereka. Jika mereka khianat dengan amanah yang diberi selepas pilihanraya ini, mari kita humbankan mereka keluar pada PRU yang akan datang.

Tunggu……………. ada mata lihat, ada telinga dengar, ada otak fikir !!!


 Ok diary, lepas ni kita sembang cerita lain pulak ye…… J

Selamat mengundi kepada rakan dan taulan



Hati makin berdebar
Menunggu detik pukul lima
Pada lima haribulan lima
Ketika semua saluran undi ditutup
Secara rasminya

Peti keramat kononnya rahsia
Di kumpul dan dikira-kira
Oleh mereka yang menjaga
Yang berjanji taat setia
Tapi amanahkah mereka

Tik tok….tik tok…
Jarum masa tetap berjalan
rebutlah peluang yang ada sekarang
Untuk kesejahteraan
Anak-anak masa hadapan


Kalau padi katakan padi
Tidak pula bertukar gandum
Undilah calon yang ber INTEGRITI
Malaysia akan gah lagi harum


Nota Kaki : Merujuk kepada Wikipedia

Maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa DBP, 1985, ialah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan.
Dari maksud yang didapati dari Kamus di atas, integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya, dll.


Psstttt……….. sambil-sambil tu fikir-fikirkan sama ada anda undi calon atau anda undi parti politik yang bertanding.


Buku Nafastari di PWTC.



Berbagai rasa timbul dalam hati bila terpandang buku catitan ‘Nafastari’ karya arwah adik iparku di PWTC semalam. Ada rasa gembira, teruja, sedih juga rindu padanya ketika melihat buku itu terpamer di rak buku di gerai Galeri Ilmu.

‘Diari seorang Diplomat – Hikmah yang tersirat’ memaparkan beberapa tulisan arwah dalam blog nafastari. Penghargaan harus diberi kepada Mawar Nafastari yang berusaha dan mengambil berat untuk menerbitkan tulisan arwah suaminya diblog dalam bentuk buku. 




“Mama, Ammar rasa macam sedih le pulak tengok gambar  Pok Paa dalam buku ini” itu perkataan yang keluar dari mulut Ammar ketika kami sama-sama sibuk membelek buku berkenaan.

Tidak mahu terbawa oleh perasaan akhirnya aku dan anak-anak terus beredar untuk ke gerai buku yang lain pula.

Kepada mereka diluar sana, jika tidak menjadi keberatan carilah buku ini di gerai Galeri Ilmu di PWTC sempena pesta buku yang berlangsung sekarang dari 26hb April, 2013 sehingga 5hb Mei, 2013.





Siapa calon pilihan anda?


Siapa calon pilihan anda?

Tentunya ramai orang sekarang ini sedang berdebar-debar menunggu hari mengundi untuk melunaskan tanggungjawab memangkah nama calon yang dirasakan paling sesuai dan layak bagi memimpin kerajaan negeri dan juga kerajaan Malaysia.

Mungkin ada diantara pengundi muda merasa teruja kerana ini adalah kali pertama mereka keluar mengundi. Mungkin ada juga golongan ‘cukup umur’ tetapi pada tahun 2008 yang lalu tidak mengambil peduli pada proses pilihanraya dan kali ini mereka bersemangat untuk turut serta.

Setiap hari kita didedahkan dengan berbagai maklumat dari pelbagai sumber demi menjayakan misi dan visi parti politik. Kita juga didedahkan dengan cerita yang  yang ‘buruk-buruk’ tanpa memikirkan maruah dan harga diri lagi. Akhir-akhir ini suratkhabar juga tidak terkecuali menyampaikan berita-berita yang sensasi dengan pengunaan ayat-ayat yang sudah tercalar nilai bahasanya.

Sebagai seorang rakyat Malaysia kita berhak memilih seorang pemimpin yang kita suka namun kita juga harus membuat kajian adakah calon kesukaan pilihan kita itu seorang yang pandai “bekerja”? Janganlah kerana dia seorang yang banyak duit atau kaya raya atau kaki ‘gebang’ maka kita memilih dia. Kita sepatutnya memilih pemimpin yang boleh bekerja untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Pemimpin yang bersih dengan isu rasuah, pemimpin yang elok budi pekerti, yang amanah serta berakhlak tinggi.

Pilihan ditangan kita. Kita berhak memilih. Maka pilihlah yang terbaik.


Ayat Promosi :-

Jangan pening atau susah hati kalau DAP tukar lambang PAS….
Apakah kalian semua tidak terfikir, jika kalian ingin ke bulan sudah tentu naik roket dulu….. Hihihi


Untuk penduduk N.36 di Pulau Pinang, adalah amat diharapkan agar kalian bagi sokongan serta undian kalian pada calon PKR – Tuan Haji Mohd Rashid Hasnon
 [saya tunaikan janji pada anaknya untuk meraih undi di blog ini :)]


PAKATAN HARAPAN RAKYAT


Dalam mood menunggu ‘hari penamaan’ calon……. Rasa macam nak bersantai di depan tv je. Hehe….kalaulah si baby tu tak banyak ragam 




Luahan rasa untuk Wan Azizah



Untuk Wan Azizah
Seorang ibu dan juga isteri
Janganlah kau rebah saat ini
Sudahlah suami asyik dicaci dimaki
Maruah anak pula cuba dinodai
Pastinya kau bersedih hati


Sesedap rasa berkata-kata
Hanya kerana undi piliharaya
Rakyat yang celik tak mudah percaya
Pada video lucah yang direka cipta
Mereka memfitnah dan menabur nista
Tidakkah mereka tahu pasal Neraka
Apakah mereka itu tidak akan mati
Selamat didunia akhirat belum pasti


Wahai Ibu bernama Wan Azizah
Jangan dibawa hati nan gundah
Pada Allah Taala kita berserah
Perjuangan ini bukan mudah


Nota Kaki : Mood sakit hati membaca artikel-artikel yang memburukkan Nurul Izzah. Lantas terfikir apakah perasaan si ibu bila nama anak dijaja sebegitu. 

Pencenkan Dinasour politik ??

Aku amatlah bersetuju dengan kenyataan Dr Maza dibawah ini. Semoga selepas PRU 13 nanti, mereka-mereka yang dilantik sebagai pimpinan kerajaan akan lebih berkualiti dari apa yang Malaysia ada sekarang.
Sebelum kalian terus membaca petikan kata-kata Dr Maza itu, sudi-sudilah baca coretan sajak yang tak seberapa ini. Hihi....... apapun selamat berjuang untuk melakukan perubahan politik.



Menjelang PRU 13
Tong-tong kosong pun berbunyi
Pong pang pong pang
Berbagai janji diberi
Transformasi itu ini
Apakah semuanya ditepati


Menjelang PRU 13
Masing-masing berebut kerusi dan undi
Hingga maruah sanggup ditelanjang
Hilanglah sudah budi pekerti
Hanya kerana kuasa dan wang




"Kita mesti pencenkan dinasour-dinasour politik yang sedia ada samada di pihak BN ataupun Pakatan. Di samping semua mereka ada sumbangan tersendiri dan kita menghargainya, tetapi mereka telah membawa dendam warisan, politik era lama yang tidak sesuai lagi bagi generasi yang mahu ke hadapan.

Kita mahu politik yang lebih segar bukan politik selak kain, tetapi politik telus dan idea yang bernas.

Ini harapan kita. Masih banyak kerja yang perlu dibuat selepas PRU-13. Masih banyak ruang untuk diisi dan perjuangan yang mesti dilangsungkan.

Kita ingin melihat Malaysia baru yang segar dan bebas dari mimpi-mimpi buruk semalam. Namun kita sedar semua itu tidak boleh berlaku melainkan PRU13 mesti mencetus satu perubahan besar yang memberi ruang dan peluang untuk perubahan seterusnya dapat dilakukan."


Dipetik daripada artikel yang bertajuk : Politik Baru lepas PRU ke -13





Menjelang PRU13

Menjelang PRU 13
Transformasi dilaung-laungkan
KPI menjadi ukuran
rakyat inginkan pembaharuan
juga terjamin akan keselamatan
bukan disogok segala umpan




Panglima bermalam di Inderagiri
Melepaskan penat merehatkan badan
Rakyat Malaysia bersedih hati
Onar di Sabah ada yang terkorban

Terlanjur kata dibibir
Senjata dan nyawa jadi taruhan???
Aduhai....
Sabah negeri dibawah bayu
Semoga damai seteru itu

Nota peribadi untuk Dr Juanda dan juga Dr Maza



Secara peribadi saya tidak menggalakkan kedua-dua orang yang bergelar Dr ini terjun masuk ke dalam parti politik. Kenapa? Kerana saya mahukan suara dan pendapat mereka di dengar dan tulisan mereka dibaca oleh semua pihak.

Biarlah mereka menjadi orang yang ‘neutral’. Suara mereka akan menjadi lebih ikhlas untuk menegur salah laku masyarakat. Jika masuk salah satu parti, parti yang berlawanan akan sentiasa mencari salah diri. Jika ingin membuat sesuatu teguran silap haribulan parti sendiri tidak benarkan. Konon mesti mendapat restu dari pihak pimpinan parti terlebih dahulu.

Dr Juanda dan Dr Maza,

Jika kedua Dr berada di luar kotak parti politik, kedua Dr bebas bersuara seterusnya inshaAllah kata-kata yang dilontarkan mungkin akan diterima pakai oleh banyak pihak. Maklum ajelah sesetengah pihak ini walaupun kenyataan yang dikeluarkan oleh orang yang berilmu itu benar dan bernas namun oleh sebab dia berada dalam kumpulan parti politik tertentu maka kenyataan orang itu senang sekali di bakulsampahkan dan dianggap kenyataan politik semata-mata.

Janganlah kedua Dr sempitkan pemikiran atau bataskan sebarang teguran yang membina hanya kerana tertawan dengan sedikit imbuhan yang belum pasti akan berkekalan.

Apa pun terpulanglah kepada kebijaksaan kedua Dr. Pilihlah yang mana intan yang mana suasa. Yang mana permata yang mana pula kaca. Sebagai rakyat biasa saya mendoakan yang terbaik sahaja untuk masa depan Malaysia.

Bahang PRU13 makin terasa



Bahang PRU13 makin terasa
Sana sini semua orang berkata dan berteka
Siapa calon pilihan mereka
Siapa pula yang dipilih oleh si ketua
Siapa pula yang akan dipangkah oleh rakyat jelata

Berbagai komentar juga tertera
Laman web, blog dan mukabuku juga
Eh! Baru ku perasan ada yang sama nama
Tapi dah tentulahlah orangnya berbeza

Seronok membaca apa kata mereka
Masing-masing dengan pendapatnya
Ada juga yang merapu ntah apa-apa
Mana yang benar mana yang dusta
Pandai-pandailah pembaca menilainya

Membisu seketika………? (ini jawapan kepada yang bertanya)



Dah sekian lama membisu kat blog, hari ni nak bercerita sepatah dua. Zaman anak dara dulu pernah berkata aku ingin punya anak lima bila telah berumahtangga. Mana tahu rupanya kata-kata itu satu doa. Dan Allah swt makbulkan ungkapan itu dan kini sah aku telah punya 5 cahayamata. Alhamdulillah……. Syukur.

Yang bongsu si Puteri diberi nama Aida yang bermaksud keberungtungan/imbalan/hadiah. Usia Aida kini 2 bulan setengah dan sudah pandai meniarap. Abangnya Ameer 3 tahun selalu punyai perasaan cemburu pada adik walaupun nampak dia sangat sayang pada adiknya itu. Ada ketikanya bila si adik nak menyusu, masa itulah si abang nak itu nak ini. Adoii…. Berasa sangat geram bila Ameer buat perangai namun sebagai ibu dapat memahami bahawa dia hanya menuntut perhatian yang lebih dari aku. Masa dalam pantang dulu rajinlah aku melayan karenah dia tapi sekarang ni bila dah mula masuk kerja balik terasa kurang sabar kerana terpaksa terkejar-kejar dengan waktu. Mana nak layan baby nak buat kerja rumah lagi. Abang dan kakak-kakaknya sibuk dengan kerja sekolah masing-masing, mana ada masa sangat nak layan dia.  Itu yang kadang-kadang rasa nak marah je bila Ameer buat hal. Huhuhu ….. sabarlah duhai hati.


Sekarang ni kalau di rumah masa untuk menjengah laman sesawang makin terhad. Facebook umum pun dibuka sekali sekala. Apatah lagi untuk menulis mahupun memberi komentar. Ikutkan rasa hati semuanya mahu dibaca. Tambahan pulak sekarang ni sudah hampirnya tarikh pilihanraya, tentu banyak informasi yang boleh dicari.


Facebook peribadi untuk tatapan keluarga juga seakan menyepi seketika. Bila ada masa terluang aku mengomel di situ melalui hp sahaja. Sebenarnya banyak yang ingin aku luahkan di dalam diary maya ini namun masa adalah penghalang utama.


Ada beberapa sajak dan juga puisi ku tulis dalam buku nota kecil sementara. InsyaAllah, jika berkesempatan akan ku pindahkan kata-kata itu ke dalam ruang diary maya ini untuk tatapan mereka yang singgah membaca disini.


Sebuah coretan pada diary

Setelah lama tidak menulis, aku kehilangan kata-kata. Sebenarnya ingin ku tulis berbagai cerita namun kekangan waktu selalu sahaja membatask...