Aku mencari namamu

 


Aku mencari namamu

Dalam kepulan awan

Yang hilang ketika hujan turun

 

Aku mencari namamu

Dalam rintik hujan

Yang kelam dan hilang

Ketika sinar Mentari munculkan diri

 

Aku mencari namamu

Pada sinar Pelangi di kaki langit

Yang ku temui

adalah warna warni kehidupan

 

 

Kau sumber ilham

Ketika mengingati mu

Ku catit Aksara dalam diary kenangan

 

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Lama sungguh tidak menulis. Bila ilham datang kenalah tulis cepat-cepat dan simpan dalam diary maya. Manalah tahu kan, suatu hari nanti boleh kumpul semula semua puisi yang tertulis dalam blog dan bukukan untuk tatapan ahli keluarga. Hahaha…berangan dulu.


Angan-angan nak bukukan puisi, petua dan resepi. Entah bila akan menjadi realiti tak tahulah. Ada beberapa puisi yang dulu pernah tulis secara contengan, lepas tu tak sempat simpan dalam blog akhirnya hilang begitu sahaja. Buku conteng-conteng pun dah tak ingat letak dimana. Jadinya bila ilham datang secara tiba-tiba, kena cepat-cepat salin dalam blog dan simpan jugaklah dalam muka buku sebagai tanda ilham dan tulisan itu hak empunya diri.


Bila diary bercerita, hanya luahan peribadi untuk kenangan kemudian hari. Sekarang sudah tidak banyak punya masa senggang untuk berlama-lama di alam maya dan membaca contengan dinding orang lain dalam laman muka buku. Mendapat berita terkini ketika sesekali membaca dari ciapan kicauan burung di telefon bimbit. Membaca luahan anak muda di situ yang kadang tiada segan silu mengingatkan diri sendiri untuk lebih berhati-hati untuk menulis. 


Pesanan pada diri, menulislah dari hati namun sentiasalah berpada-pada agar tulisan tidak menjadi penambah dosa.


 

 

 

 


Menjadi pesakit Covid19 - Kafarah kepada dosa

 Pertengahan Februari menguji pertahanan diri. Aku tewas dengan serangan Covid 19 yang bernama Omicron pada kali ini. Namun mujur dek kerana telah mengambil perisai dos vaksin dan pengalak, makanya tidaklah menjadi parah.

Hampir satu keluarga menjadi mangsa. Risau pada anak bongsu si Aida yang belum vaksin. Susah hati sungguh. Bila 3 orang anak disahkan positif, maka aku juga mengambil ujian pcr itu secara pandu lalu dan seperti dijangka aku juga positif Covid. Sebelum ini memang aku yang urusakan makan minum anak, buat sanitasi sendiri dirumah. Yelah memang tak pernah ada pembantu rumah kan, jadinya memang teramat penat. Nak pantau kesihatan yang bongsu lagi yang merengek, asyik muntah serta tidak berselera makan. Kena paksa dia untuk makan dan minum. Macam mana lah mamanya tidak turut sama dijangkiti.

Mujur juga anak-anak yang lain berada dalam status 2a dan 2b. Aku pula sehari setelah disahkan positif mula batuk dan demam. Dada juga terasa sakit dan tidak selesa. Status dalam mysejahtera mula bertanda amaran. Aduhai, terkenang anak-anak terus kuatkan semangat. Mencuba segala petua untuk sembuhkan Covid. Nasib baik jugalah segala bahan memang ada stok dalam rumah. Maklumlah kan bila dah positif, bukannya boleh nak berlenggang kankung ke kedai mencari bahan makanan. Nak tidur pun susah. Tidak boleh nak lena sentiasa check suhu badan yang bongsu. Memang terasa badan penat, letih dan lesu. 

Kerja pejabat masih lagi kena buat. Sebab dah kerja dari rumah kan.... walaupun dan maklumkan pada boss dan team yang anak-anak dan aku positif covid. Hmm, lagi lah penat otak. Akhirnya tak sanggup bertahan, aku mohon cuti untuk berehat 2 hari. Semalam dan hari ini cuti dengan harapan tidak perlu menghadap laptop siapkan tugasan atau nak kena jawap segala email cepat-cepat. Tapi itulah, nama jer cuti. Tetap juga kena kacau. Adehh...zaman digital ni memang semua orang tak ada live agaknya. Kalau masa tengah bercuti pada hari yang lain mungkin aku tidak terasa hati sangat tapi ni tengah sakit kut. Tidakkah mereka memahami?

Ikutkan rasa hati, memang ingin berhenti kerja sahaja namun banyak perkara lain perlu difikirkan bersama. Sebab itu la ada pepatah mengatakan ikut rasa hati, mati. Jiwa kena kuat. Covid 19 ini membuatkan perancangan dan pergerakkan hidup jadi huru hara.

Rasa berbaloi membeli alat kesihatan untuk semak tekanan darah, nadi, oksigen dan bacaan suhu tahun lepas. Dalam tempoh kuarantin ini sentiasa kena maklumkan status kesihatan dalam aplikasi mysejahtera. Sesuai la ayat 'kalah membeli menang memakai'. 3 kali bacaan tekanan darah ku naik. Mungkin stress dan penat agaknya. 


Hari ini dah beransur sihat. Syukur alhamdulillah. Tiada lagi batuk. Anak-anak juga makin sihat dan ceria. Rasa lega bila sakit dada makin berkurang. Nikmat dan rahmat dari Allah swt. 

Pesanan ku pada diri sendiri serta anak-anak. Sebenarnya Allah swt nak jentik hati kita untuk berlapang dada menerima segala ujian. Sabar dan redho kerana sakit adalah penghapus dosa. Mungkin kita banyak dosa tanpa kita sedar. Dosa dengan manusia kena minta maaf. Dosa dengan Allah swt kena ikut la segala perintah dan laranganNya. Cuba perbaiki diri jika pernah buat silap dan sentiasa bersangka baik dengan manusia.

"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya". Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Bila kita sakit, Allah tarik 3 perkara;
1. Allah tarik keceriaan wajah kita
2. Allah tarik selera/nafsu makan dan minum kita
3. Allah tarik dosa kita

Apabila kita sembuh, Allah hantar semula keceriaan wajah dan kegembiraan kita. Allah hantar semula nafsu makan kita TAPI, Allah tak hantar pun semula dosa kita. Allahhu akhbar.... janganlah sesekali kita dustakan nikmat dari Allah swt ini.

 

*Luahan perasaan dalam diary, untuk kenangan kemudian hari.



Catitan pada hari ke 31 tahun 2022.

Makin bertambah tahun, semakin bertambah umur. Yang dulu muda, kini meniti usia tua.

Beberapa hari yang lalu, ada terbaca tulisan ini. Tak pasti sumber asal. Namun terasa ingin menyalin ayat-ayat tersebut dan simpan dalam diary. Sebab apa? Sebab ayat itu terasa sangat dekat dihati. Semoga nanti bila semak kembali catitan dalam diary, ayat-ayat ini akan memberi makna yang tersendiri.

🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸 🌸🌸🌸🌸

Semakin bertambah umur, semakin mahu kehidupan senyap

Orang tak ajak, kita diam sahaja.

Orang tak suka, kita jauhkan diri sahaja.

Orang tak perlu kita bantu, kita tengok sahaja.

Orang tak nak bantu, kita uruskan sendiri.

Orang tak nak berkawan, kita cari kawan yang sudi.

 

Kita hidup tanpa ambil hati dengan siapa siapa.

Kita teruskan hidup kita dengan bahagia cara kita.

Tanpa perlu sentap, tak perlu emosi.

 

Semakin kita bertambah umur, kita mahukan kehidupan senyap.

Kehidupan senyap yang menenangkan.

Malas bergaduh dengan orang dan mahukan kedamaian sahaja.

🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷

Tak tahulah nak kata apa kalau ada yang tak setuju dengan ayat-ayat itu. 

Apa yang penting, sentiasa bersangka baik dengan orang lain. Fikir positif pada semua perkara agar hati kita lebih tenteram dan berlapang dada ketika menerima ujian serta dugaan.










Penyakit Halimunan

Sedihnya bila baca berita kes Covid19 hari ini di Malaysia. Melihat angka-angka yang tertera itu dada jadi sebak. Tambahan pulak bila ada jiran tetanga yang khabarnya turut positif Covid 19. Aduhai... sedih rasa hati. Tapi itulah, dalam membaca berita sana sini, timbul pulak idea untuk menulis dalam diary sebagai kenangan.

Menulis warkah fiksyen bila ilham datang. πŸ˜…

🌿🌿🌿🌿🌿🌿  🌼🌼🌼🌼🌼  🌿🌿🌿🌿

Ucapan salam serta doa dimulakan sebagai pembuka bicara.

Apa khabar Kanda disana? Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang dari Allah swt hendaknya.

Adapun saat ini dinda hanya ingin berbicara meluahkan apa yang dirasa dalam dada. Sepertimana yang telah Kanda ketahui tanah air kita ini masih lagi diserang penyakit Halimunan. Bahaya sungguh penyakit itu, sungguhlah dinda berasa walang kerana ramainya rakyat yang telah diserang. Ada yang telah terkorban nyawa. Adinda menerima perkhabaran duka ini dari sidang pembesar bergelar. Untuk hari ini sahaja khabarnya lapan ribu lebih rakyat diserang halimunan. Yang terkorban atas serangan sudah seratus lebih. Manakan hati tidak hiba mengenang akan bala yang menimpa.

Ramai rakyat berkeluh kesah takutkan halimunan dan mencari rezeki menjadi serba payah. Entah apalah yang diperbuat oleh memanda menteri semua dan para pembesar bergelar. Ada yang buta dan tuli agaknya. Namun mujur ada juga sesetengah dari mereka berlapang dada dan ringan tulang. Tidaklah semua rakyat terputus bekalan makanan.

Kanda, maafkan dinda kerana lama tidak mengirim berita. Ketahuilah Kanda, bahawa dinda sihat sejahtera sahaja. Semoga Kanda di seberang sana pun begitu juga. Bagaimana keadaan di tanah jajahan Romawi? Adakah Kanda turut sama menepung tawar dan menurunkan ilmu Pawang disana? Apapun yang Kanda lakukan, jagalah diri supaya tidak diserang oleh penyakit Halimunan ini.


Bunga Kemuning Bunga Kenanga

Diwaktu malam harum baunya

Semoga diberi kekuatan jiwa

Melawan penyakit tak nampak dimata

 

Dinda sudahi warkah ini dengan doa agar Allah swt memelihara kita dari segala penyakit yang berbahaya.

Sekian sahaja untuk kali ini.

 

Dinda yang jauh,

Tun Melati Putih


Bendera Putih


Kibarkan bendera Putih, Kawan

Jangan malu jangan segan

Jika kau perlukan bantuan

Percayalah bahawa kau tidak keseorangan

 

Masih ramai yang terkesan

Angkara Covid19 dan masalah kewangan

Jangan terlampau ikutkan perasaan tertekan

Jagalah nyawa sayangilah badan

 


Aku mencari namamu

  Aku mencari namamu Dalam kepulan awan Yang hilang ketika hujan turun   Aku mencari namamu Dalam rintik hujan Yang kelam dan hi...