Raya 2023 dan resepi Ketupat Palas

 Syawal ke 11 baru sempat nak conteng diary maya.

 

SELAMAT HARI RAYA  Teman ucapkan kepada semua. Akhir-akhir ini, selalu tak punya waktu lapang yang panjang untuk berlama-lama di ruang maya. Kadang perasaan ingin menulis itu ada, namun selalunya terhalang oleh sebab-sebab tertentu pula.

 

Kebetulan hari ini ada ruang masa sedikit untuk menconteng diary maya. Terasa ingin memohon maaf jika ada yang lambat bertanya khabar berita. Tak sempat nak mengirim ucapan raya  pada setiap rakan taulan dan sahabat semua. Maklum sahaja, kita semua sudah ada tanggungjawab masing-masing. Laman mukabuku juga tak sempat nak jenguk setiap hari. Buka twitter pun hanya sebab nak baca berita terkini dan pandangan anak muda tentang isu-isu semasa. Terasa ada beza bila baca fb dan twitter ni. Tik Tok? Ooo…buat masa ini belum berhasrat untuk terjebak dalam medsos itu. Tak kuasa la haii nak melayan segala video dalam apps tersebut.

 

Media Sosial ini kalau banyak sangat pun jadi pening. Dah tua-tua ni, nak relax dan tenang-tenang sahaja. Kadang malas fikir bab-bab yang tiada kepentingan untuk diri sendiri ni. Banyak lagi perkara lain yang lebih penting yang perlu diambil kira dan ambil peduli. Bila otak agak tepu dan badan penat, lebih suka streaming drama Korea/Cina secara online. Ehh…kadang sempat baca webtoon jugak. Nampak comel dan kreatif jer setiap lukisan dalam webtoon tu. Malas nak bergaduh dengan orang, kita baca webtoon diam-diam. Haha

 

Tahun ni beraya di Perak. Mak nak makan Ketupat Palas dan juga lemang. Berjaya la tunaikan permintaan dia. Pokok buluh yang mak tanam sendiri dulu dah banyak, memang senang la nak bakar Lemang tu. Daun Ketupat Palas beli jer di pasar Kuala Kangsar. Tak banyak pilihan, beli sahaja mana yang ada.

 

Ruas buluh kecik dapatlah la 14 batang untuk 3 kg beras pulut dan santan untuk lemang, mak guna 1 ¾ kilo santannya. Tak perlu habiskan 2kilo santan tu. Tanya bab garam? Katanya agak2 ler, jangan masin sangat. Aduh…jenuh nak dapat resepi lemang dari mak ni.

 


Mak pulak tak pernah buat Ketupat Palas sebab selalunya di negeri Perak ini kan, biasa orang buat ketupat dengan daun Kelapa yang dianyam dengan cantik tu. Teman memang tak reti weh bab-bab anyam kelonsong ketupat dari daun Kelapa ni. Jadinya kira okey jer untuk tunaikan permintaan mak, masak dan bungkus Ketupat Palas sendiri.

 


Kalau beraya di Trengganu, hampir setiap rumah yang kami pergi wajib ada Ketupat Palas dan Tapai Pulut dibungkus dengan Daun Getah. Kemanisan Tapai Pulut bergantung kepada jenis Ragi. Kalau ragi jenis baru dan elok, menjadi la tapainya. Raya di Perak jer, tak dapat ler makan tapai. Kut kalau esok lusa atau hari kemudian datang mood rajin, mungkin la kukus pulut dan buat tapai tu. Tengoklah dulu macam mana.

 

Ini resepi Ketupat Palas yang kena dengan selera anak tekak kami sekeluarga. Manalah tahu, kut nanti lupa resepinya boleh jugak semak semula dalam diary ni.

 

1 kg beras pulut – basuh dan rendam dulu dalam 3-4 jam

½ kg Santan Pekat – Kalau dekat kedai dapat jenis santan yang cair, lebih baik lebihkan sedikit santan

1 ½ sudu besar garam kasar (tak ada garam kasar, guna garam biasa pun boleh)

2 sudu besar gula putih (jangan nak memandai tukar gula perang pulak. Nanti jadi buruk warna ketupat tu)

1 cawan air

 

Nota: Santan, garam, gula masak sekejap atas dapur dengan 1 cawan air sehingga gula dan garam larut. Tak perlu sampai mendidih pun.

 

Cara masak? Pulut yang dah direndam tu kena kukus la dulu. Kemudian arong dengan santan yang dah bercampur dengan garam dan gula tu. Kemudian kukus semula. Lepas tu arong balik dengan lebihan santan tadi. Tunggu sejuk sedikit dan boleh la bungkus dah.

 

Selesai bungkus, boleh jer terus frozenkan kalau nak simpan. Kalau nak makan, kukus sekali lagi dan bila ketupat dan sejuk, boleh goreng dengan minyak yang sedikit untuk dapatkan rasa garing pada permukaan luar ketupat palas tu.

 

Hmm…ada orang komplen sebab bungkus ketupat ada yang tak sama dengan stail Ganu. Wehh…bungkus pun sekali sekala. Janji bungkus dahlah. Masuk perut kenyang gak nanti kalau makan cicah rendang tu. Bukan nak bungkus ketupat masuk pertandingan pun.

 

Simpan sini gambar Lemang sedang dibakar dan juga Ketupat Palas siap bungkus untuk kenang-kenangan.

Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt   Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan...