Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt

 

Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan tanpa rasa segan silu dan tanpa rasa berdosa. Allah hu Rabbi, manusia tidak lari dari melakukan segala kesilapan dan dosa. Perlu kah dibuka segala aib demi sedikitnya rasa kemenangan dan bahagia yang mungkin hanya sementara?


Manusia kadang mudah lupa tentang kehadiran Malaikat Atid yang bertugas untuk mencatat keburukan dan dosa yang dilakukan manusia. Namun Allah swt maha Adil dan Malaikat Raqib ditugaskan pula untuk mencatat segala amal kebaikan kita umat manusia.


Janganlah sesekali kita berbangga dengan dosa silam. Sentiasa lah memohon ampun dari Allah swt dan jika dosa kita melibatkan manusia lain, kita doakan juga agar Allah swt turut mengampuni dosa kita dan dosa si dia. Jagalah aib si dia atau siapa-siapa yang kita kenal ada keburukan pada mereka agar hubungan sesama manusia kekal baik dalam peliharaan Allah swt.


Namun dalam bab menjaga aib manusia ini,  menjaga hukum Allah swt itu adalah lebih penting sebenarnya kan…. Dan kenalah pandai dalam menimbang tara antara hukum Allah dan hukum undang-undang manusia. Sebab itu ada pepatah mengatakan “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali” Dalam kita berbuat baik pada orang lain, kita mungkin telah menyakiti pihak lagi satu atau  tanpa sedar telah membuka aib seseorang. Dan jika bersalah sekalipun, kita ada saluran undang-undang yang manusia sendiri cipta untuk digunapakai pada waktu tertentu.

 

Undang-undang manusia di muka bumi ini, kita beriya nak ikut atau terpaksa ikut, tapi undang-undang dan hukum Allah swt kadang kita abaikan pula. Hidup kita ini tidak selamanya menongkat langit. Suatu hari nanti kita akan dipanggil pulang menghadap Ilahi. Bersediakah kita? Masihkah kita berbangga dengan dosa-dosa kita? Cukup ke amalan kita selama ini? Adakah kita ingin terus melakukan dosa?

 

Tutuplah segala aib ketika perlu untuk kemakmuran hidup sesama manusia. Jangan buka aib orang lain jika kita tidak mahu aib kita di jaja orang. Ada kaedah tertentu untuk menyelesaikan segala masalah. Bercerita pada media sosial hanya akan menambah tekanan untuk di umpat nista oleh orang lain. Tidak dinafikan,  ada ketikanya aib manusia yang bersalah sesama manusia perlukan khidmat undang-undang dan campurtangan pihak berkuasa agar menjadi pengajaran pada manusia lain. Mustahil la pulak nak menutup aib seorang penjenayah yang masih bebas berkeliaran dan akan membahayakan nyawa orang lain.

 

Sifirnya mudah. Kita umat Nabi Muhammad S.A.W bukan maksum. Kita pastinya pernah berbuat dosa sama ada sedar atau tidak. Adalah lebih baik bermohon ampun dan terus berusaha melakukan segala kebaikan.

 

Jika patuh pada undang-undang manusia, patuh dan jagalah juga bab bab hukum dari Allah swt.

Hukuman manusia hanya terpakai selagi nyawa dibadan tapi hukuman Allah swt tetap berjalan hingga ke akhirat nanti. Bukan sekadar ‘tepuk dada tanya selera’ ya.  Ayat ini patutnya di tukar kepada ‘tepuk dada, tanya Iman’ baru lah boleh aman semuanya. Kalau fikir mengikut kata hati, silap haribulan merana sendiri.

 

Aku juga seorang pendosa yang sedang berusaha untuk menjaga diri dan memohon keampunan dari yang maha Esa atas segala dosa yang dilakukan. Semoga Allah swt membuka pintu-pintu rahmatNya.

 

Ehh…banyaklah pulak membebel kali ini. Minta maaf, bukan nak menunjuk pandai. Hanya berkongsi pandangan peribadi. Sesekali bila menulis dalam diary sebagai peringatan untuk diri sendiri dan juga sebagai pedoman untuk anak-anak kemudian hari.

 

Sebentar lagi akan ku tampal salinan coretan ini dalam mukabuku sebagai tanda hak milik catitan dalam diary.

Sebuah coretan pada diary

Setelah lama tidak menulis, aku kehilangan kata-kata. Sebenarnya ingin ku tulis berbagai cerita namun kekangan waktu selalu sahaja membataskan diri. Bertanya khabar teman-teman lama pun hanya sesekali. Semoga tiada antara mereka yang berkecil hati.


Curi waktu yang terluang ini untuk menulis pada diary. Mungkin apa yang pernah ku tulis akan menjadi penawar hati suatu ketika nanti. Mana tahu mungkin di lain waktu bila membaca kembali tulisan sendiri boleh menjadi ubat kepada perasaan dukalara.

 

Sebenarnya ketika aku masih lagi terbayang-bayang akan adengan dalam filem MALBATT Misi Bakara yang membuat aku menangis dalam panggung wayang tempohari serta memikir akan kesan perang pada manusia, tiba-tiba dunia dikejutkan dengan berita dari G@za.

 

Ya Allah..Ya Rabbi, hibanya hati melihat rumah kediaman dibom, kanak-kanak dan bayi dibunuh tanpa ada rasa belas kasihan. Hospital juga dibom. Membaca  bantuan kemanusiaan disekat dan segalanya tentang G@za, tipulah jika aku tidak menangis lagi. Betapa kejamnya mereka. Kini hampir setiap hari aku melihat laman yang dulunya burung biru untuk mengetahui status terkini. Ada juga perasaan geram dan sakit hati kepada pihak penzalim itu. Tapi tidak mampu untuk berbuat apa-apa selain aku hadiahkan selori kata makian sahaja. Hari ini telah lebih dari 10 ribu rakyat G@za yang telah kembali ke negeri abadi setelah dijemput oleh Allah, Ya Rahim, Ya Adzim.

 

Hanya mereka yang buta mata hati yang tidak melihat satu jenayah kezaliman telah berlaku kepada rakyat Gaza. Sifat kemanusiaan telah hilang !! Kepada umat islam yang tidak mengambil peduli tentang isu ini, apakah yang akan kalian jawap dihadapan Allah swt di akhirat nanti??

 

Kita yang masih duduk dan tinggal dalam Malaysia ini patut bersyukur dengan isu keselamatan dan kesejahteraan negara. Selalunya yang nak bergaduh siang malam dalam media sosial pun hanyalah penyokong ahli politik sahaja. Semua isu dalam negara ini nak dikaitkan dengan politik. Kadang tu naik menyampah pulak bila membacanya. Semua orang politik ini gila kuasa dan semua la perasan macam parti dorang la yang paling baik untuk memerintah. Haisshhh…penyokong tegar tak tahu agaknya yang ketua-ketua mereka hanya bergaduh perang mulut dalam dewan rakyat dan parlimen jer. Sedangkan mereka ini kalau berjumpa tidaklah sampai bertumbuk. Masih lagi boleh duduk semeja sambal minum kopi.

 

Apa khabar agaknya teman lama? Semoga kalian baik-baik sahaja. Aku telah menutup ruang komen dalam blog atas faktor tertentu. Laman mukabuku juga hanya jenguk sekali sekala. Bukan membisu, tapi kadangkala diam itu adalah lebih baik. Bila dah tua tua ni kita nak hidup tenang-tenang jer kan. Cuba elakkan masalah yang boleh mendera hati sendiri. Apapun, jika berkesempatan, aku pastinya akan menitip doa buat kalian. Semoga kalian sentiasa menjaga kesihatan diri, jaga hati dan juga sentiasa menjaga kesihatan mental.

 

Alhamdulillah, sehingga kini aku masih lagi dapat bekerja dari rumah pada hari-hari tertentu dan hanya masuk ke ibu pejabat jika perlu. Rasanya kini lebih mudah dan pratikal serta menjimatkan kos bila majikan benarkan pekerja bekerja dari rumah sahaja. Tapi ianya tidak sesuai kepada pekerja di bahagian operasi yang memerlukan mereka sentiasa berada dilapangan. Jika kalian sedang membaca diary maya ini,  jom baca zikir asmaul husna pulak selepas ini ya dan jangan lupa berdoa. Doa ialah senjata umat islam untuk segala macam perkara. Makbul atau tidak, itu urusan Allah yang maha Esa. Selain usaha, doa dan tawakal pada Illahi. Jika seandainya kita merasakan doa-doa kita tidak tertunai pada hari ini, sebenarnya mungkin Allah swt akan memberi yang lebih baik pada kita pada waktu yang sesuai dimasa hadapan. Sentiasa lah berbuat baik pada manusia dan juga kepada mahluk Allah swt namun kena sentiasa berpada-pada dan jangan lah sesekali berbuat jahat, khianat serta zalim pada orang lain. 

Raya 2023 dan resepi Ketupat Palas

 Syawal ke 11 baru sempat nak conteng diary maya.

 

SELAMAT HARI RAYA  Teman ucapkan kepada semua. Akhir-akhir ini, selalu tak punya waktu lapang yang panjang untuk berlama-lama di ruang maya. Kadang perasaan ingin menulis itu ada, namun selalunya terhalang oleh sebab-sebab tertentu pula.

 

Kebetulan hari ini ada ruang masa sedikit untuk menconteng diary maya. Terasa ingin memohon maaf jika ada yang lambat bertanya khabar berita. Tak sempat nak mengirim ucapan raya  pada setiap rakan taulan dan sahabat semua. Maklum sahaja, kita semua sudah ada tanggungjawab masing-masing. Laman mukabuku juga tak sempat nak jenguk setiap hari. Buka twitter pun hanya sebab nak baca berita terkini dan pandangan anak muda tentang isu-isu semasa. Terasa ada beza bila baca fb dan twitter ni. Tik Tok? Ooo…buat masa ini belum berhasrat untuk terjebak dalam medsos itu. Tak kuasa la haii nak melayan segala video dalam apps tersebut.

 

Media Sosial ini kalau banyak sangat pun jadi pening. Dah tua-tua ni, nak relax dan tenang-tenang sahaja. Kadang malas fikir bab-bab yang tiada kepentingan untuk diri sendiri ni. Banyak lagi perkara lain yang lebih penting yang perlu diambil kira dan ambil peduli. Bila otak agak tepu dan badan penat, lebih suka streaming drama Korea/Cina secara online. Ehh…kadang sempat baca webtoon jugak. Nampak comel dan kreatif jer setiap lukisan dalam webtoon tu. Malas nak bergaduh dengan orang, kita baca webtoon diam-diam. Haha

 

Tahun ni beraya di Perak. Mak nak makan Ketupat Palas dan juga lemang. Berjaya la tunaikan permintaan dia. Pokok buluh yang mak tanam sendiri dulu dah banyak, memang senang la nak bakar Lemang tu. Daun Ketupat Palas beli jer di pasar Kuala Kangsar. Tak banyak pilihan, beli sahaja mana yang ada.

 

Ruas buluh kecik dapatlah la 14 batang untuk 3 kg beras pulut dan santan untuk lemang, mak guna 1 ¾ kilo santannya. Tak perlu habiskan 2kilo santan tu. Tanya bab garam? Katanya agak2 ler, jangan masin sangat. Aduh…jenuh nak dapat resepi lemang dari mak ni.

 


Mak pulak tak pernah buat Ketupat Palas sebab selalunya di negeri Perak ini kan, biasa orang buat ketupat dengan daun Kelapa yang dianyam dengan cantik tu. Teman memang tak reti weh bab-bab anyam kelonsong ketupat dari daun Kelapa ni. Jadinya kira okey jer untuk tunaikan permintaan mak, masak dan bungkus Ketupat Palas sendiri.

 


Kalau beraya di Trengganu, hampir setiap rumah yang kami pergi wajib ada Ketupat Palas dan Tapai Pulut dibungkus dengan Daun Getah. Kemanisan Tapai Pulut bergantung kepada jenis Ragi. Kalau ragi jenis baru dan elok, menjadi la tapainya. Raya di Perak jer, tak dapat ler makan tapai. Kut kalau esok lusa atau hari kemudian datang mood rajin, mungkin la kukus pulut dan buat tapai tu. Tengoklah dulu macam mana.

 

Ini resepi Ketupat Palas yang kena dengan selera anak tekak kami sekeluarga. Manalah tahu, kut nanti lupa resepinya boleh jugak semak semula dalam diary ni.

 

1 kg beras pulut – basuh dan rendam dulu dalam 3-4 jam

½ kg Santan Pekat – Kalau dekat kedai dapat jenis santan yang cair, lebih baik lebihkan sedikit santan

1 ½ sudu besar garam kasar (tak ada garam kasar, guna garam biasa pun boleh)

2 sudu besar gula putih (jangan nak memandai tukar gula perang pulak. Nanti jadi buruk warna ketupat tu)

1 cawan air

 

Nota: Santan, garam, gula masak sekejap atas dapur dengan 1 cawan air sehingga gula dan garam larut. Tak perlu sampai mendidih pun.

 

Cara masak? Pulut yang dah direndam tu kena kukus la dulu. Kemudian arong dengan santan yang dah bercampur dengan garam dan gula tu. Kemudian kukus semula. Lepas tu arong balik dengan lebihan santan tadi. Tunggu sejuk sedikit dan boleh la bungkus dah.

 

Selesai bungkus, boleh jer terus frozenkan kalau nak simpan. Kalau nak makan, kukus sekali lagi dan bila ketupat dan sejuk, boleh goreng dengan minyak yang sedikit untuk dapatkan rasa garing pada permukaan luar ketupat palas tu.

 

Hmm…ada orang komplen sebab bungkus ketupat ada yang tak sama dengan stail Ganu. Wehh…bungkus pun sekali sekala. Janji bungkus dahlah. Masuk perut kenyang gak nanti kalau makan cicah rendang tu. Bukan nak bungkus ketupat masuk pertandingan pun.

 

Simpan sini gambar Lemang sedang dibakar dan juga Ketupat Palas siap bungkus untuk kenang-kenangan.

Aku mencari namamu

 


Aku mencari namamu

Dalam kepulan awan

Yang hilang ketika hujan turun

 

Aku mencari namamu

Dalam rintik hujan

Yang kelam dan hilang

Ketika sinar Mentari munculkan diri

 

Aku mencari namamu

Pada sinar Pelangi di kaki langit

Yang ku temui

adalah warna warni kehidupan

 

 

Kau sumber ilham

Ketika mengingati mu

Ku catit Aksara dalam diary kenangan

 

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Lama sungguh tidak menulis. Bila ilham datang kenalah tulis cepat-cepat dan simpan dalam diary maya. Manalah tahu kan, suatu hari nanti boleh kumpul semula semua puisi yang tertulis dalam blog dan bukukan untuk tatapan ahli keluarga. Hahaha…berangan dulu.


Angan-angan nak bukukan puisi, petua dan resepi. Entah bila akan menjadi realiti tak tahulah. Ada beberapa puisi yang dulu pernah tulis secara contengan, lepas tu tak sempat simpan dalam blog akhirnya hilang begitu sahaja. Buku conteng-conteng pun dah tak ingat letak dimana. Jadinya bila ilham datang secara tiba-tiba, kena cepat-cepat salin dalam blog dan simpan jugaklah dalam muka buku sebagai tanda ilham dan tulisan itu hak empunya diri.


Bila diary bercerita, hanya luahan peribadi untuk kenangan kemudian hari. Sekarang sudah tidak banyak punya masa senggang untuk berlama-lama di alam maya dan membaca contengan dinding orang lain dalam laman muka buku. Mendapat berita terkini ketika sesekali membaca dari ciapan kicauan burung di telefon bimbit. Membaca luahan anak muda di situ yang kadang tiada segan silu mengingatkan diri sendiri untuk lebih berhati-hati untuk menulis. 


Pesanan pada diri, menulislah dari hati namun sentiasalah berpada-pada agar tulisan tidak menjadi penambah dosa.


 

 

 

 


Menjadi pesakit Covid19 - Kafarah kepada dosa

 Pertengahan Februari menguji pertahanan diri. Aku tewas dengan serangan Covid 19 yang bernama Omicron pada kali ini. Namun mujur dek kerana telah mengambil perisai dos vaksin dan pengalak, makanya tidaklah menjadi parah.

Hampir satu keluarga menjadi mangsa. Risau pada anak bongsu si Aida yang belum vaksin. Susah hati sungguh. Bila 3 orang anak disahkan positif, maka aku juga mengambil ujian pcr itu secara pandu lalu dan seperti dijangka aku juga positif Covid. Sebelum ini memang aku yang urusakan makan minum anak, buat sanitasi sendiri dirumah. Yelah memang tak pernah ada pembantu rumah kan, jadinya memang teramat penat. Nak pantau kesihatan yang bongsu lagi yang merengek, asyik muntah serta tidak berselera makan. Kena paksa dia untuk makan dan minum. Macam mana lah mamanya tidak turut sama dijangkiti.

Mujur juga anak-anak yang lain berada dalam status 2a dan 2b. Aku pula sehari setelah disahkan positif mula batuk dan demam. Dada juga terasa sakit dan tidak selesa. Status dalam mysejahtera mula bertanda amaran. Aduhai, terkenang anak-anak terus kuatkan semangat. Mencuba segala petua untuk sembuhkan Covid. Nasib baik jugalah segala bahan memang ada stok dalam rumah. Maklumlah kan bila dah positif, bukannya boleh nak berlenggang kankung ke kedai mencari bahan makanan. Nak tidur pun susah. Tidak boleh nak lena sentiasa check suhu badan yang bongsu. Memang terasa badan penat, letih dan lesu. 

Kerja pejabat masih lagi kena buat. Sebab dah kerja dari rumah kan.... walaupun dan maklumkan pada boss dan team yang anak-anak dan aku positif covid. Hmm, lagi lah penat otak. Akhirnya tak sanggup bertahan, aku mohon cuti untuk berehat 2 hari. Semalam dan hari ini cuti dengan harapan tidak perlu menghadap laptop siapkan tugasan atau nak kena jawap segala email cepat-cepat. Tapi itulah, nama jer cuti. Tetap juga kena kacau. Adehh...zaman digital ni memang semua orang tak ada live agaknya. Kalau masa tengah bercuti pada hari yang lain mungkin aku tidak terasa hati sangat tapi ni tengah sakit kut. Tidakkah mereka memahami?

Ikutkan rasa hati, memang ingin berhenti kerja sahaja namun banyak perkara lain perlu difikirkan bersama. Sebab itu la ada pepatah mengatakan ikut rasa hati, mati. Jiwa kena kuat. Covid 19 ini membuatkan perancangan dan pergerakkan hidup jadi huru hara.

Rasa berbaloi membeli alat kesihatan untuk semak tekanan darah, nadi, oksigen dan bacaan suhu tahun lepas. Dalam tempoh kuarantin ini sentiasa kena maklumkan status kesihatan dalam aplikasi mysejahtera. Sesuai la ayat 'kalah membeli menang memakai'. 3 kali bacaan tekanan darah ku naik. Mungkin stress dan penat agaknya. 


Hari ini dah beransur sihat. Syukur alhamdulillah. Tiada lagi batuk. Anak-anak juga makin sihat dan ceria. Rasa lega bila sakit dada makin berkurang. Nikmat dan rahmat dari Allah swt. 

Pesanan ku pada diri sendiri serta anak-anak. Sebenarnya Allah swt nak jentik hati kita untuk berlapang dada menerima segala ujian. Sabar dan redho kerana sakit adalah penghapus dosa. Mungkin kita banyak dosa tanpa kita sedar. Dosa dengan manusia kena minta maaf. Dosa dengan Allah swt kena ikut la segala perintah dan laranganNya. Cuba perbaiki diri jika pernah buat silap dan sentiasa bersangka baik dengan manusia.

"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya". Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Bila kita sakit, Allah tarik 3 perkara;
1. Allah tarik keceriaan wajah kita
2. Allah tarik selera/nafsu makan dan minum kita
3. Allah tarik dosa kita

Apabila kita sembuh, Allah hantar semula keceriaan wajah dan kegembiraan kita. Allah hantar semula nafsu makan kita TAPI, Allah tak hantar pun semula dosa kita. Allahhu akhbar.... janganlah sesekali kita dustakan nikmat dari Allah swt ini.

 

*Luahan perasaan dalam diary, untuk kenangan kemudian hari.



Catitan pada hari ke 31 tahun 2022.

Makin bertambah tahun, semakin bertambah umur. Yang dulu muda, kini meniti usia tua.

Beberapa hari yang lalu, ada terbaca tulisan ini. Tak pasti sumber asal. Namun terasa ingin menyalin ayat-ayat tersebut dan simpan dalam diary. Sebab apa? Sebab ayat itu terasa sangat dekat dihati. Semoga nanti bila semak kembali catitan dalam diary, ayat-ayat ini akan memberi makna yang tersendiri.

🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸 🌸🌸🌸🌸

Semakin bertambah umur, semakin mahu kehidupan senyap

Orang tak ajak, kita diam sahaja.

Orang tak suka, kita jauhkan diri sahaja.

Orang tak perlu kita bantu, kita tengok sahaja.

Orang tak nak bantu, kita uruskan sendiri.

Orang tak nak berkawan, kita cari kawan yang sudi.

 

Kita hidup tanpa ambil hati dengan siapa siapa.

Kita teruskan hidup kita dengan bahagia cara kita.

Tanpa perlu sentap, tak perlu emosi.

 

Semakin kita bertambah umur, kita mahukan kehidupan senyap.

Kehidupan senyap yang menenangkan.

Malas bergaduh dengan orang dan mahukan kedamaian sahaja.

🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷

Tak tahulah nak kata apa kalau ada yang tak setuju dengan ayat-ayat itu. 

Apa yang penting, sentiasa bersangka baik dengan orang lain. Fikir positif pada semua perkara agar hati kita lebih tenteram dan berlapang dada ketika menerima ujian serta dugaan.










Penyakit Halimunan

Sedihnya bila baca berita kes Covid19 hari ini di Malaysia. Melihat angka-angka yang tertera itu dada jadi sebak. Tambahan pulak bila ada jiran tetanga yang khabarnya turut positif Covid 19. Aduhai... sedih rasa hati. Tapi itulah, dalam membaca berita sana sini, timbul pulak idea untuk menulis dalam diary sebagai kenangan.

Menulis warkah fiksyen bila ilham datang. 😅

🌿🌿🌿🌿🌿🌿  🌼🌼🌼🌼🌼  🌿🌿🌿🌿

Ucapan salam serta doa dimulakan sebagai pembuka bicara.

Apa khabar Kanda disana? Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang dari Allah swt hendaknya.

Adapun saat ini dinda hanya ingin berbicara meluahkan apa yang dirasa dalam dada. Sepertimana yang telah Kanda ketahui tanah air kita ini masih lagi diserang penyakit Halimunan. Bahaya sungguh penyakit itu, sungguhlah dinda berasa walang kerana ramainya rakyat yang telah diserang. Ada yang telah terkorban nyawa. Adinda menerima perkhabaran duka ini dari sidang pembesar bergelar. Untuk hari ini sahaja khabarnya lapan ribu lebih rakyat diserang halimunan. Yang terkorban atas serangan sudah seratus lebih. Manakan hati tidak hiba mengenang akan bala yang menimpa.

Ramai rakyat berkeluh kesah takutkan halimunan dan mencari rezeki menjadi serba payah. Entah apalah yang diperbuat oleh memanda menteri semua dan para pembesar bergelar. Ada yang buta dan tuli agaknya. Namun mujur ada juga sesetengah dari mereka berlapang dada dan ringan tulang. Tidaklah semua rakyat terputus bekalan makanan.

Kanda, maafkan dinda kerana lama tidak mengirim berita. Ketahuilah Kanda, bahawa dinda sihat sejahtera sahaja. Semoga Kanda di seberang sana pun begitu juga. Bagaimana keadaan di tanah jajahan Romawi? Adakah Kanda turut sama menepung tawar dan menurunkan ilmu Pawang disana? Apapun yang Kanda lakukan, jagalah diri supaya tidak diserang oleh penyakit Halimunan ini.


Bunga Kemuning Bunga Kenanga

Diwaktu malam harum baunya

Semoga diberi kekuatan jiwa

Melawan penyakit tak nampak dimata

 

Dinda sudahi warkah ini dengan doa agar Allah swt memelihara kita dari segala penyakit yang berbahaya.

Sekian sahaja untuk kali ini.

 

Dinda yang jauh,

Tun Melati Putih


Bendera Putih


Kibarkan bendera Putih, Kawan

Jangan malu jangan segan

Jika kau perlukan bantuan

Percayalah bahawa kau tidak keseorangan

 

Masih ramai yang terkesan

Angkara Covid19 dan masalah kewangan

Jangan terlampau ikutkan perasaan tertekan

Jagalah nyawa sayangilah badan

 


Angkara Covid19

 

Covid19 masih lagi mengila

Angkanya turun naik sesakkan dada

Pergerakkan terhad entah mana silapnya

Manusia masih lagi tak tentu hala

 

Tekanan perasaan tidak di jemput

Namun ia datang melukut

Hilang kerja fikiran serabut

Ekonomi rumahtangga jadi semput

 

Anak murid dan cikgu turut terkesan

Buku dan nota hanya dalam talian

Ada yang dah mula menjadi bosan

Mak Ayah mengajar rasa nak pengsan

 

Petugas kesihatan berhati waja

Walaupun kerja letih tak bermaya

Sedaya upaya selamatkan nyawa

Minta masyarakat sekeliling lebih cakna

 

Covid 19 bukan dongeng penglipur lara

Ia datang membawa derita

Yang kaya yang miskin semua terkena

Sentiasalah memakai pelitup muka

Demi menjaga diri serta ahli keluarga

 

Semoga pandemik ini segera hilang

 

-nurkilan dalam diary untuk kenang-kenangan bila ilham datang

 

Kenangan Raya 2021

Buat catitan dalam Diary untuk kenangan kemudian hari apa yang dirasa pada Aidilfitri tahun 2021.

Semua perancangan untuk beraya berpusing 360 darjah dek kerana perintah pihak kerajaan untuk mengenakan sekatan hanya berhari raya dirumah sendiri sahaja. Terus hilang mood. Anak-anak juga mengeluh tidak dapat pulang ke kampung.

Juadah hari raya masak sekadar perlu untuk makan sekeluarga. Mujur boleh buat panggilan video pada mak abah dan adik-adik semua. Terasa la jugak kecoh bersembang dalam talian walaupun beraya secara maya sahaja.

Entah bila la agaknya kita semua akan menang berperang dengan Covid19 ini. Kes baru semakin hari semakin tinggi angkanya. Nak masuk ke pejabat pun terasa cuak. Hari ini 8 Syawal, kalau dulu tentunya ramai yang masuk bekerja membawa juadah raya untuk dikongsi bersama rakan sekerja. Sekarang dengan SOP baru tidak lagi dibenarkan makan bersama atau sebarang majlis/jamuan raya. Satu keadaan yang tidak pernah kita rakyat Malaysia jangkakan.

Apapun, binalah kegembiraan untuk diri sendiri menyambut Syawal. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Bagi mereka yang dah mula masuk ke pejabat tu, bekerjalah dengan ikhlas dan sentiasa jaga diri agar kuman Covid19 ini tidak mendekati diri kita dan keluarga kita.



Mujur pihak syarikat bagi kebenaran untuk bekerja dari rumah. Jadinya tak perlu masuk pejabat setiap hari. Anak-anak juga belajar secara dalam talian. Maka ramai mak-mak dapat jawatan sementara menjadi Cikgu. Multitasking sungguh sejak Covid19 dan musim PKP yang tak habis lagi.

ok diary, nantilah kita sambung membebel dilain hari.





MUHASABAH DIRI - DOSA SILAM BUKANNYA HUKUMAN

 

DOSA SILAM BUKANNYA HUKUMAN

ALLAH tak pandang dosa lama kita. ALLAH hanya pandang TAUBAT kita. Yang pandang dosa kita hanyalah manusia. Kerana mata manusia lebih fokus kepada titik hitam daripada kanvas putih. Dosa silam itu bukannya hukuman. Tapi dosa silam itu sebenarnya pengajaran.

Jika ingin dibukakan pintu rezeki, maka banyak-banyaklah bertaubat kepada ALLAH swt setiap hari. Sebab rezeki itu tersekat oleh dosa-dosa kita yang lalu. Tanda ALLAH cinta pada kita bukannnya dengan DIA beri emas selori. Tapi DIA bagi peluang kita bertaubat, meski dosa kita berlori-lori….

Astaghfirullahal’adzim.

Dosa adalah ujian, namun untuk kita pendosa…harapan selalu ada, samada mahu kembali atau terus membuat dosa. ALLAH tak memandang masa silam seseorang, tapi ALLAH pandang siapa kita pada hari ini. Semoga pengakhiran hidup kita dikurniakan dengan pengakhiran yang baik.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Allahuakbar… aku membaca petikan ayat ini didalam laman muka buku seorang sahabat. Rasa sungguh terkesan dan ingin berkongsi dihalaman Diary ini. Kerana apa? Kerana sesungguhnya manusia memang suka mencari kesalahan orang lain dan mengaibkan dosa orang lain. Tapi tanpa mereka sedar, setiap manusia diberi peluang untuk bertaubat selagi nyawa masih dibadan.

Oleh itu, sentiasalah berpijak dibumi nyata. Jangan sesuka hati menjatuhkan hukum pada seseorang. Andai kita tidak mampu untuk menasihati seorang pendosa kembali ke jalan yang benar, kita masih lagi boleh berdoa agar ALLAH swt bukakan pintu hatinya untuk bertaubat.

 

Ingatlah, bahawa semua orang ingin ke Syurga. Tiada siapa mahu menempah tiket ke Neraka.

 

Berkebun dalam bandar bukan sesuatu yang mustahil

Rupanya seronok berkebun dalam bandar bila mana penat mencangkul dan berbakti kepada tanah memberikan hasil. Dengan kebenaran pihak tuan punya tanah, berbaloi usaha En. Suami dan rakan-rakannya mengusahakan tanah terbiar itu walaupun kawasan tanah adalah terhad.

Hasil kebun sudah boleh dijual dikedai berhampiran selain ada jiran-jiran yang datang membeli serta boleh memetik sendiri di kebun. Siapa sangka ada hikmah yang tersembunyi untuk mendapat ilmu bertani ketika PKP. Dulu aku pernah memasang angan-angan, jika sudah pencen dari pekerjaan sekarang ingin merancang untuk menanam tumbuhan herba dan membuka ladang herba. Angan-angan itu kan percuma. Namun perancangan dari Allah swr tiada siapa yang tahu. Sekarang ini aku masih lagi sibuk bekerja dan kadang-kadang tidak punya masa untuk 'mencemar kaki' menjadi petani. Dan usaha tulang empat kerat teman sebilik yang berkongsi bantal ini telah mendahului angan-anganku. Umpama mimpi menjadi realiti. Belajar berkebun dahulu di dalam bandar Kuala Lumpur yang serba moden sebelum ada rezeki untuk punya tanah kebun atas nama sendiri.

Pokok Kunyit sedang membesar, dijangka boleh dituai ketika bulan puasa nanti. Alhamdulillah, rezeki dari Allah swt memang tidak salah alamat. 

Pokok Cili yang rendah namun berbuah lebat.



Tiga jenis Timun yang ditanam di kebun.




Bebelan hari Khamis - 11.3.2021

 Membebel dalam diary lagi untuk kenangan dikemudian hari.

 Wahai Diary, banyak yang ingin aku ceritakan disini. Cuma tidak punyai waktu khusus untuk diri sendiri maka ku simpan dulu cerita dalam hati.

Sejak Covid-19 menyerang dunia dan PKP di Malaysia, banyak perancangan tergedala dan ada yang terbatal begitu sahaja. Bekerja dari rumah, bukanlah semudah seperti disangka oleh kebanyakan orang. Cabarannya nak mengurus masa bekerja dan dalam masa yang sama mengurus hal ehwal rumahtangga. Tu belum lagi terpaksa jadi Cikgu untuk pantau pembelajaran anak-anak yang belajar dari rumah juga.

Ada hari-hari tertentu aku masuk ke pejabat untuk selesaikan tugasan yang penting dalam kadar segera. Dan seperti biasa, walau berseorangan dalam department, tugasan wajib selesai. Semasa tempoh PKP tempohari, aircond pun tiada. Mujur ada kipas di meja. Berpeluh ketiak sambal bekerja. Panas wehh…. Rupanya memang company terhadkan penggunaan penghawa dingin ini. Kena request dan itupun kalau level tu ramai yang masuk ke pejabat. Nasiblah…

Kadang ada hikmahnya walau dalam hati paksa rela jer bekerja seorang diri dalam pejabat. Tak disangka rupanya dapat surat dari pihak majikan untuk kenaikan ‘grade’. Punyalah rahsia, HR masuk dalam sistem sahaja. Tak terima email pun.  Surat bulan 1, awal bulan 3 baru tahu. Iskh…iskh… Tapi kan, naik gred sahajalah. Gaji dan jawatan tu tidaklah berubah apa-apa pun… Tidak bersyukur kah aku?? Hmm…. Otak kena positif sikit. Alhamdulillah, bila gred dah naik, benefit dari company pun dapat lebih sikit. Syukur la kan. Orang lain ada yang tidak bekerja. Ada yang gaji kena potong. Aku?? Masih lagi terima gaji setiap bulan. Nikmat dari Allah swt tiada siapa menduga. Walau satu pintu rezeki ditutup, masih ada pintu lain yang terbuka. Kesan dari Covid-19 dan PKP, En Suami tidak lagi makan gaji. Makanya kami kena merancang ekonomi dan menambah pendapatan keluarga dengan cara lain. Berbakti pada tanah semasa PKP ada hasilnya. Selain untuk makan sendiri, rezeki hasil jualan boleh juga buat belanja dapur.

Simpan dalam diary gambar hasil kebun dalam bandar untuk kenangan. Mungkin tahun-tahun kehadapan kemudian boleh tengok semula gambar-gambar ini disini.






Bila anak belajar online.

Mood ke laut sedikit hari ini. Pagi-pagi hari sudah naik hantu memekak marahkan Ameer dan Aida yang belum menyiapkan kerja sekolah mereka. Menjadi seorang ibu dan cikgu ‘Instant’ dan dalam masa yang sama kena bekerja dari rumah bukanlah sesuatu yang mudah. Penat dan stress!!

Cepatlah penyakit Covid19 ni hilang dari muka bumi. Kesian pada anak-anak yang hendak menimba ilmu pengetahuan dan bebanan Guru yang turut sama menghadapi kekangan untuk mengajar secara dalam talian. Bukan semua anak murid mempunyai alat peranti yang sesuai untuk googlemeet dan mempunyai jaringan internet yang stabil. Dalam bandar ni mungkin la boleh digunakan tapi kalau berada diluar bandar dan liputan internet pun asyik tenggelam timbul macam mana nak belajar secara ‘online’.

Group Whatsapp sekolah kalau dulu hanya ada 4 termasuk Sek Agama, sekarang makin bertambah dengan group untuk matapelajaran terpilih. Tahun ini pula ada group untuk Telegram juga. Adoii….macam mana la tak stress. Kerja sekolah hantar dalam Telegram. Untuk update status dan info kena buka whatsapp. Mana la mak-mak tak pening macam ni. Nak tengok group whatsapp kerja lagi. Email pejabat lagi. Tu yang kadang ada terlepas pandang atau terlupa bila dah sibuk dengan kerja sendiri. Cikgu yang baik, dia hantar ‘reminder’ ingatkan anak murid supaya tidak leka. Kena belajar dan siapkan kerja sekolah  walaupun sekolah belum dibuka sepenuhnya.

Haisshh….kali ini luahkan rasa hati dalam Diary. Di masa hadapan boleh baca kembali. Boleh jadi kenangan apa yang berlaku semasa penyakit Covid19 ini menyerang negara dan dunia.

Disebabkan mood Mama tak berapa nak ceria hari ini, kita masak Nasi Minyak dan Ayam Masak Merah sahaja. Tak kuasa dah Mama nak masak juadah lain. Makanlah apa yang ada. Musim penyakit ni jangan nak mengada memilih makanan. Belajarlah bersyukur dengan Nikmat yang ada yang telah Allah swt berikan kepada kita. Masa hadapan kita tidak belum tahu lagi bagaimana. Sentiasalah berdoa semoga dipermudahkan segala urusan kita semua oleh yang maha Esa.

Bila angka Covid19 makin meningkat..

 Bila angka-angka Covid19 makin tinggi dalam negara, rakyat tentunya merasa gundah gelana dengan bala penyakit yang menimpa. Agkara segelintir manusia yang kemaruk pada kuasa, gelanggang perang piliharaya negeri Sabah akhirnya menjadi medan perang dengan mahluk penyakit yang tak nampak pada mata kasar. Menyerang dalam diam dan meresahkan setiap kakitangan kesihatan dan mereka yang bekerja di barisan hadapan. Masalanya bukan hanya di Sabah, ianya telah merebak kembali hingga ke tanah Semenanjung. 

 

Yang tak dengar nasihat ahli politik. Yang kena menjawap dalam media tu Tan Sri Dr Hisham. Yang menderita tentunya rakyat Marhaein….yelah, apabila dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semula, semua jadi serba tak kena. Jika dilaksakan Perintah Kawalan Pergerakan DIperketatkan (PKPD)  risau pula nanti ada rakyat yang sampai tak makan. Pergerakan terbatas, silap haribulan ekonomi negara akan merundum. Sebab itulah sekarang ini rakyat makin menyampah dengan cakap-cakap orang politik yang hanya pandai bercakap tentang kuasa politik untuk memerintah dan mentadbir negara akan tetapi untuk menghulur bantuan bagi membantu rakyat yang terkesan secara langsung dengan masalah-masalah semasa ketika Covid19 ini tidaklah pula nampak bayang muka mereka. 

 

Bila angka dah meningkat 

Barisan hadapan dan kakitangan KKM yang penat 

Ramai yang pandai bercakap 

Salah sendiri tak pulak ingat 

 

Rakyat berusaha untuk menjaga 

Agar Covid19 tak bermaharajalela 

Namun ada yang tuli dan buta 

Kerana mereka mabuk kuasa 

 

Siapa lagi nak diharapkan 

Jika diri sendiri tak buat sekatan 

Jagalah diri dan juga keluarga 

Semoga kita semua terhindar dari bahaya 

 

 

Membebel dalam diary untuk kenangan kemudian hari. 

 

 

Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt   Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan...