Catitan pada hari ke 31 tahun 2022.

Makin bertambah tahun, semakin bertambah umur. Yang dulu muda, kini meniti usia tua.

Beberapa hari yang lalu, ada terbaca tulisan ini. Tak pasti sumber asal. Namun terasa ingin menyalin ayat-ayat tersebut dan simpan dalam diary. Sebab apa? Sebab ayat itu terasa sangat dekat dihati. Semoga nanti bila semak kembali catitan dalam diary, ayat-ayat ini akan memberi makna yang tersendiri.

🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸🌸 🌸🌸🌸🌸

Semakin bertambah umur, semakin mahu kehidupan senyap

Orang tak ajak, kita diam sahaja.

Orang tak suka, kita jauhkan diri sahaja.

Orang tak perlu kita bantu, kita tengok sahaja.

Orang tak nak bantu, kita uruskan sendiri.

Orang tak nak berkawan, kita cari kawan yang sudi.

 

Kita hidup tanpa ambil hati dengan siapa siapa.

Kita teruskan hidup kita dengan bahagia cara kita.

Tanpa perlu sentap, tak perlu emosi.

 

Semakin kita bertambah umur, kita mahukan kehidupan senyap.

Kehidupan senyap yang menenangkan.

Malas bergaduh dengan orang dan mahukan kedamaian sahaja.

🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷🌷

Tak tahulah nak kata apa kalau ada yang tak setuju dengan ayat-ayat itu. 

Apa yang penting, sentiasa bersangka baik dengan orang lain. Fikir positif pada semua perkara agar hati kita lebih tenteram dan berlapang dada ketika menerima ujian serta dugaan.










Penyakit Halimunan

Sedihnya bila baca berita kes Covid19 hari ini di Malaysia. Melihat angka-angka yang tertera itu dada jadi sebak. Tambahan pulak bila ada jiran tetanga yang khabarnya turut positif Covid 19. Aduhai... sedih rasa hati. Tapi itulah, dalam membaca berita sana sini, timbul pulak idea untuk menulis dalam diary sebagai kenangan.

Menulis warkah fiksyen bila ilham datang. πŸ˜…

🌿🌿🌿🌿🌿🌿  🌼🌼🌼🌼🌼  🌿🌿🌿🌿

Ucapan salam serta doa dimulakan sebagai pembuka bicara.

Apa khabar Kanda disana? Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang dari Allah swt hendaknya.

Adapun saat ini dinda hanya ingin berbicara meluahkan apa yang dirasa dalam dada. Sepertimana yang telah Kanda ketahui tanah air kita ini masih lagi diserang penyakit Halimunan. Bahaya sungguh penyakit itu, sungguhlah dinda berasa walang kerana ramainya rakyat yang telah diserang. Ada yang telah terkorban nyawa. Adinda menerima perkhabaran duka ini dari sidang pembesar bergelar. Untuk hari ini sahaja khabarnya lapan ribu lebih rakyat diserang halimunan. Yang terkorban atas serangan sudah seratus lebih. Manakan hati tidak hiba mengenang akan bala yang menimpa.

Ramai rakyat berkeluh kesah takutkan halimunan dan mencari rezeki menjadi serba payah. Entah apalah yang diperbuat oleh memanda menteri semua dan para pembesar bergelar. Ada yang buta dan tuli agaknya. Namun mujur ada juga sesetengah dari mereka berlapang dada dan ringan tulang. Tidaklah semua rakyat terputus bekalan makanan.

Kanda, maafkan dinda kerana lama tidak mengirim berita. Ketahuilah Kanda, bahawa dinda sihat sejahtera sahaja. Semoga Kanda di seberang sana pun begitu juga. Bagaimana keadaan di tanah jajahan Romawi? Adakah Kanda turut sama menepung tawar dan menurunkan ilmu Pawang disana? Apapun yang Kanda lakukan, jagalah diri supaya tidak diserang oleh penyakit Halimunan ini.


Bunga Kemuning Bunga Kenanga

Diwaktu malam harum baunya

Semoga diberi kekuatan jiwa

Melawan penyakit tak nampak dimata

 

Dinda sudahi warkah ini dengan doa agar Allah swt memelihara kita dari segala penyakit yang berbahaya.

Sekian sahaja untuk kali ini.

 

Dinda yang jauh,

Tun Melati Putih


Bendera Putih


Kibarkan bendera Putih, Kawan

Jangan malu jangan segan

Jika kau perlukan bantuan

Percayalah bahawa kau tidak keseorangan

 

Masih ramai yang terkesan

Angkara Covid19 dan masalah kewangan

Jangan terlampau ikutkan perasaan tertekan

Jagalah nyawa sayangilah badan

 


Angkara Covid19

 

Covid19 masih lagi mengila

Angkanya turun naik sesakkan dada

Pergerakkan terhad entah mana silapnya

Manusia masih lagi tak tentu hala

 

Tekanan perasaan tidak di jemput

Namun ia datang melukut

Hilang kerja fikiran serabut

Ekonomi rumahtangga jadi semput

 

Anak murid dan cikgu turut terkesan

Buku dan nota hanya dalam talian

Ada yang dah mula menjadi bosan

Mak Ayah mengajar rasa nak pengsan

 

Petugas kesihatan berhati waja

Walaupun kerja letih tak bermaya

Sedaya upaya selamatkan nyawa

Minta masyarakat sekeliling lebih cakna

 

Covid 19 bukan dongeng penglipur lara

Ia datang membawa derita

Yang kaya yang miskin semua terkena

Sentiasalah memakai pelitup muka

Demi menjaga diri serta ahli keluarga

 

Semoga pandemik ini segera hilang

 

-nurkilan dalam diary untuk kenang-kenangan bila ilham datang

 

Kenangan Raya 2021

Buat catitan dalam Diary untuk kenangan kemudian hari apa yang dirasa pada Aidilfitri tahun 2021.

Semua perancangan untuk beraya berpusing 360 darjah dek kerana perintah pihak kerajaan untuk mengenakan sekatan hanya berhari raya dirumah sendiri sahaja. Terus hilang mood. Anak-anak juga mengeluh tidak dapat pulang ke kampung.

Juadah hari raya masak sekadar perlu untuk makan sekeluarga. Mujur boleh buat panggilan video pada mak abah dan adik-adik semua. Terasa la jugak kecoh bersembang dalam talian walaupun beraya secara maya sahaja.

Entah bila la agaknya kita semua akan menang berperang dengan Covid19 ini. Kes baru semakin hari semakin tinggi angkanya. Nak masuk ke pejabat pun terasa cuak. Hari ini 8 Syawal, kalau dulu tentunya ramai yang masuk bekerja membawa juadah raya untuk dikongsi bersama rakan sekerja. Sekarang dengan SOP baru tidak lagi dibenarkan makan bersama atau sebarang majlis/jamuan raya. Satu keadaan yang tidak pernah kita rakyat Malaysia jangkakan.

Apapun, binalah kegembiraan untuk diri sendiri menyambut Syawal. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Bagi mereka yang dah mula masuk ke pejabat tu, bekerjalah dengan ikhlas dan sentiasa jaga diri agar kuman Covid19 ini tidak mendekati diri kita dan keluarga kita.



Mujur pihak syarikat bagi kebenaran untuk bekerja dari rumah. Jadinya tak perlu masuk pejabat setiap hari. Anak-anak juga belajar secara dalam talian. Maka ramai mak-mak dapat jawatan sementara menjadi Cikgu. Multitasking sungguh sejak Covid19 dan musim PKP yang tak habis lagi.

ok diary, nantilah kita sambung membebel dilain hari.





Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt   Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan...