Bendera Putih


Kibarkan bendera Putih, Kawan

Jangan malu jangan segan

Jika kau perlukan bantuan

Percayalah bahawa kau tidak keseorangan

 

Masih ramai yang terkesan

Angkara Covid19 dan masalah kewangan

Jangan terlampau ikutkan perasaan tertekan

Jagalah nyawa sayangilah badan

 


Angkara Covid19

 

Covid19 masih lagi mengila

Angkanya turun naik sesakkan dada

Pergerakkan terhad entah mana silapnya

Manusia masih lagi tak tentu hala

 

Tekanan perasaan tidak di jemput

Namun ia datang melukut

Hilang kerja fikiran serabut

Ekonomi rumahtangga jadi semput

 

Anak murid dan cikgu turut terkesan

Buku dan nota hanya dalam talian

Ada yang dah mula menjadi bosan

Mak Ayah mengajar rasa nak pengsan

 

Petugas kesihatan berhati waja

Walaupun kerja letih tak bermaya

Sedaya upaya selamatkan nyawa

Minta masyarakat sekeliling lebih cakna

 

Covid 19 bukan dongeng penglipur lara

Ia datang membawa derita

Yang kaya yang miskin semua terkena

Sentiasalah memakai pelitup muka

Demi menjaga diri serta ahli keluarga

 

Semoga pandemik ini segera hilang

 

-nurkilan dalam diary untuk kenang-kenangan bila ilham datang

 

Kenangan Raya 2021

Buat catitan dalam Diary untuk kenangan kemudian hari apa yang dirasa pada Aidilfitri tahun 2021.

Semua perancangan untuk beraya berpusing 360 darjah dek kerana perintah pihak kerajaan untuk mengenakan sekatan hanya berhari raya dirumah sendiri sahaja. Terus hilang mood. Anak-anak juga mengeluh tidak dapat pulang ke kampung.

Juadah hari raya masak sekadar perlu untuk makan sekeluarga. Mujur boleh buat panggilan video pada mak abah dan adik-adik semua. Terasa la jugak kecoh bersembang dalam talian walaupun beraya secara maya sahaja.

Entah bila la agaknya kita semua akan menang berperang dengan Covid19 ini. Kes baru semakin hari semakin tinggi angkanya. Nak masuk ke pejabat pun terasa cuak. Hari ini 8 Syawal, kalau dulu tentunya ramai yang masuk bekerja membawa juadah raya untuk dikongsi bersama rakan sekerja. Sekarang dengan SOP baru tidak lagi dibenarkan makan bersama atau sebarang majlis/jamuan raya. Satu keadaan yang tidak pernah kita rakyat Malaysia jangkakan.

Apapun, binalah kegembiraan untuk diri sendiri menyambut Syawal. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Bagi mereka yang dah mula masuk ke pejabat tu, bekerjalah dengan ikhlas dan sentiasa jaga diri agar kuman Covid19 ini tidak mendekati diri kita dan keluarga kita.



Mujur pihak syarikat bagi kebenaran untuk bekerja dari rumah. Jadinya tak perlu masuk pejabat setiap hari. Anak-anak juga belajar secara dalam talian. Maka ramai mak-mak dapat jawatan sementara menjadi Cikgu. Multitasking sungguh sejak Covid19 dan musim PKP yang tak habis lagi.

ok diary, nantilah kita sambung membebel dilain hari.





MUHASABAH DIRI - DOSA SILAM BUKANNYA HUKUMAN

 

DOSA SILAM BUKANNYA HUKUMAN

ALLAH tak pandang dosa lama kita. ALLAH hanya pandang TAUBAT kita. Yang pandang dosa kita hanyalah manusia. Kerana mata manusia lebih fokus kepada titik hitam daripada kanvas putih. Dosa silam itu bukannya hukuman. Tapi dosa silam itu sebenarnya pengajaran.

Jika ingin dibukakan pintu rezeki, maka banyak-banyaklah bertaubat kepada ALLAH swt setiap hari. Sebab rezeki itu tersekat oleh dosa-dosa kita yang lalu. Tanda ALLAH cinta pada kita bukannnya dengan DIA beri emas selori. Tapi DIA bagi peluang kita bertaubat, meski dosa kita berlori-lori….

Astaghfirullahal’adzim.

Dosa adalah ujian, namun untuk kita pendosa…harapan selalu ada, samada mahu kembali atau terus membuat dosa. ALLAH tak memandang masa silam seseorang, tapi ALLAH pandang siapa kita pada hari ini. Semoga pengakhiran hidup kita dikurniakan dengan pengakhiran yang baik.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Allahuakbar… aku membaca petikan ayat ini didalam laman muka buku seorang sahabat. Rasa sungguh terkesan dan ingin berkongsi dihalaman Diary ini. Kerana apa? Kerana sesungguhnya manusia memang suka mencari kesalahan orang lain dan mengaibkan dosa orang lain. Tapi tanpa mereka sedar, setiap manusia diberi peluang untuk bertaubat selagi nyawa masih dibadan.

Oleh itu, sentiasalah berpijak dibumi nyata. Jangan sesuka hati menjatuhkan hukum pada seseorang. Andai kita tidak mampu untuk menasihati seorang pendosa kembali ke jalan yang benar, kita masih lagi boleh berdoa agar ALLAH swt bukakan pintu hatinya untuk bertaubat.

 

Ingatlah, bahawa semua orang ingin ke Syurga. Tiada siapa mahu menempah tiket ke Neraka.

 

Berkebun dalam bandar bukan sesuatu yang mustahil

Rupanya seronok berkebun dalam bandar bila mana penat mencangkul dan berbakti kepada tanah memberikan hasil. Dengan kebenaran pihak tuan punya tanah, berbaloi usaha En. Suami dan rakan-rakannya mengusahakan tanah terbiar itu walaupun kawasan tanah adalah terhad.

Hasil kebun sudah boleh dijual dikedai berhampiran selain ada jiran-jiran yang datang membeli serta boleh memetik sendiri di kebun. Siapa sangka ada hikmah yang tersembunyi untuk mendapat ilmu bertani ketika PKP. Dulu aku pernah memasang angan-angan, jika sudah pencen dari pekerjaan sekarang ingin merancang untuk menanam tumbuhan herba dan membuka ladang herba. Angan-angan itu kan percuma. Namun perancangan dari Allah swr tiada siapa yang tahu. Sekarang ini aku masih lagi sibuk bekerja dan kadang-kadang tidak punya masa untuk 'mencemar kaki' menjadi petani. Dan usaha tulang empat kerat teman sebilik yang berkongsi bantal ini telah mendahului angan-anganku. Umpama mimpi menjadi realiti. Belajar berkebun dahulu di dalam bandar Kuala Lumpur yang serba moden sebelum ada rezeki untuk punya tanah kebun atas nama sendiri.

Pokok Kunyit sedang membesar, dijangka boleh dituai ketika bulan puasa nanti. Alhamdulillah, rezeki dari Allah swt memang tidak salah alamat. 

Pokok Cili yang rendah namun berbuah lebat.



Tiga jenis Timun yang ditanam di kebun.




Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt   Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan...