Kertas Kajang -vs- Peranti Pintar


Aku menjadi rindu

Pada helaian kertas berkajang

Pada ayat penuh perasaan

Dengan bahasa memujuk jiwa

Menyembuhkan luka

Menceriakan hati nan nestapa

 

Aku menjadi rindu

Pada cerita panjang

Dengan bahasa kiasan

Madah seloka serta gurauan

 

Zaman telah berubah

Kertas kajang menjadi sepi

Dengan ledakan teknologi

Peranti pintar penganti diri

 

Zaman telah berubah

Bahasa ringkas lebih mudah

Kadangkala yang terpapar cumalah emoji

Sebagai tanda luahan rasa hati

 


Entah bagaimanalah agaknya generasi akan datang hendak menghargai cantik dan indahnya bahasa. Buku berbentuk sastera juga mereka tidak suka membaca. Lirik lagu zaman sekarang juga tidak membantu. Tidak seperti dulu.

Mendengar siaran radio klasik di RTM juga anak-anak jadi sebal dan tidak suka. "Mama, please la tukar channel tu" Hahaha.....mereka tidak tahu mama memang sengaja membuka Radio Klasik untuk mendera pendengaran mereka. Sekali sekala sahaja pun kan....

Waktu rehat 1 jam tidak keluar makan. Hanya buka laman sesawang.
 

 

Selamat Ulangtahun Kelahiran Anakanda


 
19 tahun yang lalu dia lahir dari rahimku


Ingatkan dialah yang bongsu

Rupanya 8 tahun kemudian menjadi kakak

 

Alya nama yang diberi oleh arwah Mak Mertua

Semasa kecil mulutnya sangat rajin bercerita

Ada sahaja soalan yang nak ditanya

Kadang aku merasa tebal muka

Kerana soalan tak kena pada tempat dan suasana

 

Anak-anak adalah permata jiwa

Walau mereka jauh dimata

Doa untuk mereka sentiasa ada

 

Selamat ulangtahun Alya

Mama doakan semoga hidupmu

Sentiasa beroleh kejayaan

Di dunia dan juga akhirat

Semoga Allah swt memberi segala rahmat

Dalam kehidupanmu

 


Gambar tahun lepas meraikan kejayaan
SPM hanyalah titik permulaan kepada
perjalanan yang panjang.
 

Perasan cantik sekejap.........hahaha



Filter camera yang cerdik
terimakasih kerana menjadikan aku cantik
halus mulus bersih tanpa noda
padahal jeragat dah mula menempek dimuka

Anak-anak sudah pandai komplen
kenapa malam-malam
selalu terbau minyak angin
keluar bekerja wangi bukan main
Pakai loysen sekali sekala
itu pun memanjang jer terlupa

Hahaha....
50 bakal menjelma
ada rakan meminta petua
rajin tak rajin jer sebenarnya
amalkan ulaman dan herba
yang penting dalam pantang
badan kena jaga
kalau kau bedal segala
tak sampai 40
mulalah sakit sini dan sana

ada masa nanti
akan ku kongsi segala petua
biar diary yang bercerita



p/s Mama & Ameer dating berdua
KL Sental

Untuk Kamu


Untuk kamu

yang kadangkala hadir

memberi ilham

tanpa kamu sedar

 

Untuk kamu

Jika rasa resah gelisah

Bacalah “La Hawla wa la Quwwata Illa Billah”

Jika berduka dan bersedih hati

Bacalah “La ilaha illa anta Subhanaka inni kuntu minaz zhalimin”

 

Begitu banyak jalan berliku

Yang kita lalui hingga kini

Walau jalanmu dan jalanku

Adalah jalan yang berbeza

 

Untuk kamu

Yang bertanya khabar

dan mengirim  pesan

Semoga hidupmu selalu aman

 

Untuk kamu

Aku memohon agar Allah swt

Tenangkan jiwamu, bahagiakan hidupmu

Hanya itu

yang aku mampu lakukan untuk kamu

Ternyata tanpa sedar

Ada air mata yang mengalir

Keluar bersama iringan doa

 

Semoga kamu temanku

Baik-baik sahaja di sana

 

 

**biarkan aku bermimpi sebentar

 

Politikus Tun M dan bebelan tenghari


Dia politikus terulung

Dalam sejarah negara

Untuk generasi akan datang

Menilai Siasah dan juga kuasa

 

Dia memberi juga menyakiti

Pada kawan dan juga lawan

Yang sombong akhirnya mulut terkunci

Akalnya si Tua diluar jangkaan

 

Netizen hari ini sibuknya membawang

Yang muda juga menjadi cakna

Politik kadang tergolek kadang terlentang

Semua bersuara untuk Negara
 
 
Asalnya contengan ini ku letak dalam mukabuku sebentar tadi, tapi terasa hendak simpan juga dalam laman diary. Sejak semalam pentas politik negara gegak gempita dengan drama siasah.  Untuk generasi akan datang, korang semua akan melihat susuk tubuh hebat sang politikus. Mungkin boleh belajar sepak terajang dunia politik darinya. Bakal menjadi sejarah penting Negara juga.
 
Haisshhh.....tak keluar makan tengahari hari ini. Niat sebentar tadi ingin menghadam bawang2 dari netizen yang kuat betul membawang dalam mukabuku. Tapi sudahnya aku tengelam dalam laman diary. Ambik masa sebentar cuma sebelum jarum jam mencecah angka 2.
 
Untuk anak-anak masa hadapan, sejauh mana pun kaki melangkah kena tahu asal usulmu, pegangan agamamu,  hormati Rajamu dan jangan sesekali pandang rendah pada amuknya yang bernama Melayu.
 
 
 
 

Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt   Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan...