Menulislah dari hati.........

Menulislah dari hati.

Seseorang memberikan inspirasi untuk aku menulis, katanya ”Menulislah dari hati”. Sungguh dalam maknanya. Ya, menulislah dari hati tapi apa yang aku nak tulis atau menaip di keyboard ni? ”Mana pergi sajak-sajak dan puisi mu? Sudah sampai titik nokhtah kah? Atau sudah merajuk dengan rentak politik negara yang selalu kau sindir dahulu?”  Terkedu aku seketika.

Aduhai, sememangnya ada ketika perasaan membuak-buak mahu menulis, ilham datang bertubi-tubi Namun selalunya juga ianya terganggu dengan tugasan-tugasan yang tertentu pula. Sempat mencatit sebaris dua, akhirnya ditinggalkan. Ilham pun beku secara tiba-tiba.

Menjadi seorang blogger yang menulis dalam blog Bila Diary Bercerita tidak sama seperti menulis dalam mukabuku. Ya, aku mengaku yang itu. Mungkin sebab mengomel dalam mukabuku lebih kepada catitan peribadi yang dikongsi hanya kepada orang-orang tertentu. Manakala tulisan dalam blog menjadi tatapan umum.

Mungkin hanya kau seorang saja yang rajin menjengah laman BDB ini dan masih cuba memberi semangat untuk aku terus menulis. Menulislah dari hati………..ya, kata-kata itu sungguh melekat disanubari. Akan ku usahakan juga nanti.

Sireh pinang didalam Puan
Mari dimakan orang biduanda
Melayu hebat menjadi tuan
Tertulis dalam sejarah lama


Pantun tu bukan apa-apa ia sekadar peringatan untuk kita kembali membaca sejarah kehebatan orang-orang Melayu terdahulu. Cuba lihat beberapa senarai laman blog yang berkaitan dengan sejarah seperti dibawah. Tulisan dan kupasan dari mereka ini memang menarik untuk diikuti.






Selamat membaca ye. Carilah kupasan mereka dalam laman mukabuku juga. Anda tak akan rugi mengetahui fakta sejarah yang tersembunyi.





Bahasa Melayu makin hari makin terpinggir.

Rupa-rupanya, sudah setahun blog ini bersawang. Sepi dan sunyi. Diary membisu tanpa kata. 
Arghhh……. rindunya untuk berceloteh lagi disini, diruang yang boleh ku  luahkan segala isi hati.
Namun apakan daya, kesibukan bertugas dan kesibukan menguruskan anak-anak menjadi halangan utama untukku berbicara. Sesekali mencuri masa yang ada menjengah laman mukabuku dan berkongsi catitan harian dan memberi komentar tertentu dengan rakan-rakan dan taulan.

Untuk kali ini kepada mereka di luar sana yang sempat menjengah laman Bila Diary Bercerita, pernahkah kalian terfikir kenapa bahasa melayu yang dipertuturkan oleh nenek moyang kita dahulu kini terasa begitu hambar?. Orang melayu kita sekarang lebih suka pada bahasa yang  mudah, ringkas dan tepat. Siap bangga lagi dengan pengunaan bahasa rojak. Kononnya modern dan melambangkan status atau taraf hidup mereka.  Hmmmm...... L Bahasa melayu menjadi bahasa rasmi dalam bidang persuratan kepada pihak berkuasa kerajaan. Namun bahasa Inggeris menjadi bahasa wajib bagi pihak bukan kerajaan. Manakala bagi pihak swasta dalam Malaysia ni 99% pengunaan bahasa Inggeris untuk semua urusan. Bahasa melayu makin hari makin terpinggir.

Anak-anak remaja pula lebih selesa dengan bahasa sms. Cuba kalian perhatikan bahasa yang mereka gunakan. Kita yang dewasa ni pun ada ketikanya terikut-ikut dengan gaya mereka terutama bila memberi komentar dimuka buku kan.... Kalau kita cuba bercakap bahasa melayu klasik pada anak-anak remaja ni ’mau pitam’ jawap mereka.

Sayangkan, keindahan seni berbahasa melayu makin lama makin dilupakan orang. Mungkinkah nanti peribahasa serta perumpamaan hanya akan menjadi bahasa kenang-kenangan sahaja sebab orang melayu sendiri pada saat ini ramai diantara kita tidak lagi menghargainya. Mungkin juga tidak peduli pun pada keindahan bahasa itu atau malas ingin mencari maknanya. Orang dahulu walau marah macam-mana pun pada musuhnya tetap berpantun dan berkias bagai. Tak percaya? Cubalah sesekali tengok filem melayu dulu-dulu pasti jumpa adengan seumpama ini.

Orang melayu sepatutnya bangga bila berbahasa melayu kerana itu adalah warisan kita.




Resepi Apam Mekar

Apa yang kita harapkan tidak selalunya menjadi kenyataan.
Belajarlah menerima sesuatu perkara dengan lapang dada.
InshaAllah hati akan jadi lebih tenang dan bahagia.
  
Sebenarnya dalam mood sedih dan hampa ni. Tapi biarlah……..esok lusa, pasti perasaan ini akan berlalu pergi.
  

Teringat pula janji pada Diary ini untuk berkongsi resepi. Hmmm, kat bawah ni resepi apam mekar yang telah dibuat berkali-kali. Senang je membuatnya dan bahan-bahannya pun tak banyak.  

Layan gambar apam dulu ek....   




RESEPI APAM MEKAR  J - guna cawan metrik

2 biji telur – gred B je                
¾ cawan gula halus                  
1 sudu kecil ovolatte
1 cawan ice cream soda F&N 
1 sudu kecil esen vanilla
2 cawan tepung gandum            
Pewarna ikut suka
Paper cup dan acuan kecil


Cara :-

Panaskan kukusan terlebih dahulu.
Pukul Telur + Gula + Ovollate sehingga berkrim – jadi warna putih
Masukkan esen vanilla. – pukul rata.
Masukkan ice cream soda + tepung berselang seli dan gaul rata
Bahagikan kepada 2 atau 3 bahagian, warna ikut suka
Masok dlm bekas dan kukus dlm 10 minit

** Letakkan paper cup dalam acuan kecil2 (acuan lompang atau muffin)
     Letak adunan dalam paper cup tu…

**Kalau xde paper cup, dicadangkan sapu dalam acuan lompang dengan sedikit minyak, baru letak       adunan tadi.





Bingka Pandan dengan Pemanggang Ajaib


Sekadar nak berkongsi resepi. Lagipun dah lama tak update blog kan….

Mula-mula sekali nak ucapkan berbanyak-banyak terimakasih pada rakan blogger – ‘Kak Ja’ yang telah berkongsi resepi bingka dengan kaedah membakar menggunakan alat Pemanggang Ajaib tu dalam FB beliau. Jadinya pada satu malam di minggu yang lepas, semangat la nak mencuba pulak. Wahhh…..memang best resepi ni. Tapi biasalah kan…., ada juga yang ku tukar ganti. Ngeh….ngeh…ngeh….

Bahan2
2 cawan tepung gandum      - (guna cawan metric)
1 cawan gula                    
1 cawan air pandan            
(yg ni aku guna pewarna hijau + esen pandan sikit je)
3 cawan santan                   
(huwaa……. Tinggi kolestrol tu…so, memandai tukar resepi jadikan
 1 cawan santan + 1 cawan susu sejat + 1 cawan air. Tak larat la guna santan banyak sangat)
3 biji telur
½ sudu kecil garam
2 sudu besar mentega
Sedikit bijan (tapi tak letak pun)

Resepi Asal : Masukkan semua bahan kecuali Bijan ke dalam alat pengisar (blender) sampai sebati. Letak sedikit minyak dalam pemangang ajaib tu. Tuang adunan dan bakar

Cara aku plak :-

1) Mula-mula cairkan dulu buttercup tu. Biar sejuk.
2) Pukul telur dgn gula dulu guna whisk je tak payah hancur pun gula tu hanya
    sebatikan aje.
3) Masukkan masuk tepung dan Air pandan + dengan santan sekali. Godek2 dengan  
    whisk sampai tepung sebati dgn cecair…
    Kemudian baru masukkan 1 cawan susu sejat dan 1 cawan air biasa tuh..gaul sebati sehingga         tiada lagi tepung yang berbintil-bintil.
    (Adunan agak cair tau….baru le masukkan buttercup yg dah dicairkan itu + dgn  garam sekali.
4) Letak/Sapu sedikit minyak ke dalam Kuali Pemanggang ajaib. Masukkan adunan tepung  
5) bakar atas dapor dalam api yg sederhana selama 15-20minit. Kemudian terbalikkan   

    kuali pemanggang ajaib secara berhati-hati dan bakar sehingga masak.


Pengalaman bakar bingka dengan pemanggang ajaib:-

Emmmm….. adunan yang mula-mula letak tu penuh sangat kut…so, bila adunan tu mengelegak….ianya meleleh keluar…dan magnet pemanggang pun terbukak…habis dapor jadi sememeh. Eeiiiii…….tak sukalah bab ni…

Adunan yg kedua letak sikit… baru ok.  Kelebihan guna alat ni ialah ianya mempercepatkan  waktu memasak.

Kesimpulannya…… Resepi ni memang best. Tapi kan, kalau nak buat lagi gunakan ajelah acuan bingka yang sedia ada tu. Lagi senang.  Letak semua adunan sekali. Tak perlu asyik nak jengah dapor tu sangat. 

Ok, lepas ni bercadang nak update resepi apam mekar dengan ice cream soda tu pulak. Tungggguuuu.............





Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.


Di kesempatan ini, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam AidilFitri kepada semua pengunjung blog yang beragama Islam yang sudi singgah ziarah ke blog ini.
Bagaimana persiapan kalian untuk menyambut hari lebaran? Bagi diriku, persiapan ala kadar sahaja. Cukuplah asalkan anak-anak tetap gembira dihari raya.

Maaf kerana aku tidak punya kesempatan untuk menulis panjang lebar dan membebel di ruang ini. Mungkin di lain waktu yang lapang akan panjanglah sedikit bebelan.


Apapun, sempena menjelang hari mulia, maaf dipinta jika ada salah dimana-mana. Kita kan manusia biasa. Pada yang ingin memulakan perjalanan yang jauh untuk pulang berhari raya tu, pandulah dengan cermat. Semoga selamat sampai ke destinasi yang di tuju.


SELAMAT HARI RAYA

MAAF ZAHIR & BATIN

Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt   Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan...