“Arrggghhhh……….sakit sungguh rindu ini.”
Puteri bermonolog sendirian. Dia seakan-akan terdengar-dengar suara itu. Suara yang selalu menceriakan hatinya disatu ketika dahulu. Suara yang selalu memanjakan dirinya. Suara itu selalu melayan karenah dia bagaikan seorang puteri dari kayangan. Ya, puteri kayangan yang mabuk perasaan dengan seorang pahlawan dari negeri Antah Berantah. Padahal Puteri bukanlah dari keturunan raja. Jauh sekali dari salasilah keturunan istana. Puteri hanyalah seorang gadis desa yang menetap dihujung Tanjung.
“aduhai….ingin rasanya memetik bintang didada langit menjadi obor cahaya untuk mencarimu Pahlawan”.
Puteri terus berkata-kata dalam diam. Puteri sedar hatinya sedang merindu suara itu. Namun dia tak mungkin dapat mendengar suara itu lagi. Pahlawan yang dikenangnya telah pun ditawan oleh Istana Kesaktian ketika Sang Pahlawan tenat dimedan perang. Tanpa puteri sedar selama ini Permaisuri Istana Kesaktian telah berusaha sedaya upaya memberi bantuan hikmat dan merawat hati rawan Pahlawan yang akhirnya membuatkan Pahlawan melupai puteri serta jatuh kasih pula kepada Permaisuri itu.
Puteri tahu akan kedudukan dirinya. Tidak mungkin dia dapat bersama dengan Pahlawan. Umpama langit dengan bumi jika boleh dibuat bandingan untuk mengambarkan hubungan kasih mereka. Puteri membawa hati dan meneruskan kehidupannya dihujung Tanjung tanpa memikirkan lagi tentang si Pahlawan.
Namun pagi itu, segalanya tentang Pahlawan kembali bermain dalam kotak fikiran Puteri. Puteri lelah kerana terperangkap dalam tembok perasaan yang dibina sendiri. Dia tidak sanggup untuk merobohkan tembok itu.
Puteri akhirnya keluar mencari Sang Pendita. Dari khabar yang dibawa orang ketika melewati pasar sehari di hujung Tanjung, Sang Pendita itu terkenal dengan ilmunya. Dia diberitakan handal sekali dalam ilmu perubatan.
Puteri ingin mencuba nasib. Mungkinkah Sang Pendita boleh menyembuhkan rasa sakit rindunya pada Pahlawan selama ini. Puteri tidak ingin pergi ke Istana Kesaktian berjumpa dengan Pahlawan kerana puteri tahu Permasuri Istana Kesaktian akan memasang pagar sakti dan tidak akan membenarkan sesiapun berjumpa dengan Pahlawan. Memegang pagar istana sahaja akan membuat seseorang jatuh sakit selama beberapa purnama. Itulah berita yang didengar orang diluar Istana.
Puteri tidak ingin jatuh sakit. Cukuplah rasa sakit yang ditanggung selama ini. Jantung umpama dicarik-carik, tersiat satu persatu sungguh pedih. Hati bagaikan ditikam oleh mata pedang sehingga tertembus ke belakang. Benarlah kata pujangga, sakit sungguh menangung rindu.
“ Wahai Pendita yang bijaksana, bolehkah Pendita menolong hamba?”
Puteri memohon pada Sang Pendita agar disembuhkan penyakit yang melanda dirinya. Sang Pendita mendengar segala keluhan dan ratap hiba si Puteri. Akhirnya si Pendita pun bersuara.
“Duhai anakanda Puteri, sakitmu ini tiadalah sakti. Namun jika dibiarkan menjadi api. Akan membakar dirimu sendiri”.
“Tapi Pendita, mengapa sakit menjadi luka, luka bernanah sungguh berbisa?”
Puteri terus bertanya dan airmata tiada tertahan olehnya. Mengalir laju seperti air terjun di Pergunungan Sepiso.
Pendita yang arif lagi bijak itu terus memujuk dan menasihati Puteri bermohon doa pada yang Esa. Penjaga Alam Buana supaya hatinya kembali tenang. Pendita juga memberi beberapa nasihat agar luka dihati Puteri itu bisa sembuh dalam waktunya.
Dalam senyum Pendita bersuara lunak, mendamaikan hati Puteri yang hiba.
“Anakanda Puteri, luahkan segala rindu dan amarahmu diatas lembar. Lembar itu tiadalah berharga bila ianya kosong tanpa sebaris kata. Namun lembar yang penuh dengan luahan kata serta rasa menjadi berharga pada si empunya.”
“Simpanlah jalinan lembar-lembar yang berbaris kata itu sebagai kenangan. Tiadalah guna anakanda berasa hiba mengenangkan Pahlawan”.
“Adalah lebih baik anakanda berzikir memuji Penjaga Alam Buana agar Tuhan yang masa Esa tidak meminggirkan dirimu. Zikir itu sendiri menjadi ubat serta penawar paling berkesan untuk penyakit hati.”
“Ini dia zikir yang paling mudah untuk diingat. Sebutlah, Subahanallah, Alhamdulillah serta Allahhu Akhbar selalu. InsyaAllah jiwa mu yang kacau akan tenang setenang air di Danau Toba”.
Bagai menerima emas sekarung, hati Puteri kembali berbunga. Tidak disangka nasihat Pendita amatlah mudah bagi dia untuk melakukannya. Tidak perlu memanjat gunung untuk mencari si Anggerik yang pastinya tidak mahu hidup jika ditanam di tanah bendang. Tidak juga perlu ke hutan rimba untuk mencari dedaun dan akar kayu sebelanga yang jika dimasak pun, belum tentu diminum kerana pahit akan rasanya.
Kini Puteri telah mendapat semangat baru.
Dia pulang semula ke hujung Tanjung dengan muka penuh berseri. Puteri pun mula menulis lembar. Kadang menulis, kadang berzikir.
Banyak sudah lembaran yang dijahit dengan cantik. Dihias pula dengan bunga kering. Dan akhirnya segala kata-kata yang tertera menjadi hiburan pada Puteri.
Inilah antara bait-bait kata yang pernah Puteri nukilkan :
Bagaimana Dapat Aku melupakan
Kau yang pernah menakluki
Seluruh indera dan jiwaku
Bagaimana dapat aku melupakan
Kau yang pernah menguasai
Fikir dan rasaku
Yang berada dihujung kata
Yang berkaca dihujung tinta
Memenuhi setiap ruang dan rongga
Diparas siang dikaki gelita
Dalam jaga dalam alpa
Bagaimana dapat aku melupakan
Kerana aku adalah pesona alam
Adalah debunga
Dan haruman masa silam
Meskipun didalam genggaman
Telah terlepas sebutir nilam
Kau tetap dalam ingatan
Bagaimana dapat aku melupakan....