MUHASABAH DIRI - DOSA SILAM BUKANNYA HUKUMAN

 

DOSA SILAM BUKANNYA HUKUMAN

ALLAH tak pandang dosa lama kita. ALLAH hanya pandang TAUBAT kita. Yang pandang dosa kita hanyalah manusia. Kerana mata manusia lebih fokus kepada titik hitam daripada kanvas putih. Dosa silam itu bukannya hukuman. Tapi dosa silam itu sebenarnya pengajaran.

Jika ingin dibukakan pintu rezeki, maka banyak-banyaklah bertaubat kepada ALLAH swt setiap hari. Sebab rezeki itu tersekat oleh dosa-dosa kita yang lalu. Tanda ALLAH cinta pada kita bukannnya dengan DIA beri emas selori. Tapi DIA bagi peluang kita bertaubat, meski dosa kita berlori-lori….

Astaghfirullahal’adzim.

Dosa adalah ujian, namun untuk kita pendosa…harapan selalu ada, samada mahu kembali atau terus membuat dosa. ALLAH tak memandang masa silam seseorang, tapi ALLAH pandang siapa kita pada hari ini. Semoga pengakhiran hidup kita dikurniakan dengan pengakhiran yang baik.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Allahuakbar… aku membaca petikan ayat ini didalam laman muka buku seorang sahabat. Rasa sungguh terkesan dan ingin berkongsi dihalaman Diary ini. Kerana apa? Kerana sesungguhnya manusia memang suka mencari kesalahan orang lain dan mengaibkan dosa orang lain. Tapi tanpa mereka sedar, setiap manusia diberi peluang untuk bertaubat selagi nyawa masih dibadan.

Oleh itu, sentiasalah berpijak dibumi nyata. Jangan sesuka hati menjatuhkan hukum pada seseorang. Andai kita tidak mampu untuk menasihati seorang pendosa kembali ke jalan yang benar, kita masih lagi boleh berdoa agar ALLAH swt bukakan pintu hatinya untuk bertaubat.

 

Ingatlah, bahawa semua orang ingin ke Syurga. Tiada siapa mahu menempah tiket ke Neraka.

 

Berkebun dalam bandar bukan sesuatu yang mustahil

Rupanya seronok berkebun dalam bandar bila mana penat mencangkul dan berbakti kepada tanah memberikan hasil. Dengan kebenaran pihak tuan punya tanah, berbaloi usaha En. Suami dan rakan-rakannya mengusahakan tanah terbiar itu walaupun kawasan tanah adalah terhad.

Hasil kebun sudah boleh dijual dikedai berhampiran selain ada jiran-jiran yang datang membeli serta boleh memetik sendiri di kebun. Siapa sangka ada hikmah yang tersembunyi untuk mendapat ilmu bertani ketika PKP. Dulu aku pernah memasang angan-angan, jika sudah pencen dari pekerjaan sekarang ingin merancang untuk menanam tumbuhan herba dan membuka ladang herba. Angan-angan itu kan percuma. Namun perancangan dari Allah swr tiada siapa yang tahu. Sekarang ini aku masih lagi sibuk bekerja dan kadang-kadang tidak punya masa untuk 'mencemar kaki' menjadi petani. Dan usaha tulang empat kerat teman sebilik yang berkongsi bantal ini telah mendahului angan-anganku. Umpama mimpi menjadi realiti. Belajar berkebun dahulu di dalam bandar Kuala Lumpur yang serba moden sebelum ada rezeki untuk punya tanah kebun atas nama sendiri.

Pokok Kunyit sedang membesar, dijangka boleh dituai ketika bulan puasa nanti. Alhamdulillah, rezeki dari Allah swt memang tidak salah alamat. 

Pokok Cili yang rendah namun berbuah lebat.



Tiga jenis Timun yang ditanam di kebun.




Bebelan hari Khamis - 11.3.2021

 Membebel dalam diary lagi untuk kenangan dikemudian hari.

 Wahai Diary, banyak yang ingin aku ceritakan disini. Cuma tidak punyai waktu khusus untuk diri sendiri maka ku simpan dulu cerita dalam hati.

Sejak Covid-19 menyerang dunia dan PKP di Malaysia, banyak perancangan tergedala dan ada yang terbatal begitu sahaja. Bekerja dari rumah, bukanlah semudah seperti disangka oleh kebanyakan orang. Cabarannya nak mengurus masa bekerja dan dalam masa yang sama mengurus hal ehwal rumahtangga. Tu belum lagi terpaksa jadi Cikgu untuk pantau pembelajaran anak-anak yang belajar dari rumah juga.

Ada hari-hari tertentu aku masuk ke pejabat untuk selesaikan tugasan yang penting dalam kadar segera. Dan seperti biasa, walau berseorangan dalam department, tugasan wajib selesai. Semasa tempoh PKP tempohari, aircond pun tiada. Mujur ada kipas di meja. Berpeluh ketiak sambal bekerja. Panas wehh…. Rupanya memang company terhadkan penggunaan penghawa dingin ini. Kena request dan itupun kalau level tu ramai yang masuk ke pejabat. Nasiblah…

Kadang ada hikmahnya walau dalam hati paksa rela jer bekerja seorang diri dalam pejabat. Tak disangka rupanya dapat surat dari pihak majikan untuk kenaikan ‘grade’. Punyalah rahsia, HR masuk dalam sistem sahaja. Tak terima email pun.  Surat bulan 1, awal bulan 3 baru tahu. Iskh…iskh… Tapi kan, naik gred sahajalah. Gaji dan jawatan tu tidaklah berubah apa-apa pun… Tidak bersyukur kah aku?? Hmm…. Otak kena positif sikit. Alhamdulillah, bila gred dah naik, benefit dari company pun dapat lebih sikit. Syukur la kan. Orang lain ada yang tidak bekerja. Ada yang gaji kena potong. Aku?? Masih lagi terima gaji setiap bulan. Nikmat dari Allah swt tiada siapa menduga. Walau satu pintu rezeki ditutup, masih ada pintu lain yang terbuka. Kesan dari Covid-19 dan PKP, En Suami tidak lagi makan gaji. Makanya kami kena merancang ekonomi dan menambah pendapatan keluarga dengan cara lain. Berbakti pada tanah semasa PKP ada hasilnya. Selain untuk makan sendiri, rezeki hasil jualan boleh juga buat belanja dapur.

Simpan dalam diary gambar hasil kebun dalam bandar untuk kenangan. Mungkin tahun-tahun kehadapan kemudian boleh tengok semula gambar-gambar ini disini.






Sebuah coretan pada diary

Setelah lama tidak menulis, aku kehilangan kata-kata. Sebenarnya ingin ku tulis berbagai cerita namun kekangan waktu selalu sahaja membatask...