Showing posts with label fiksyen. Show all posts
Showing posts with label fiksyen. Show all posts

Penyakit Halimunan

Sedihnya bila baca berita kes Covid19 hari ini di Malaysia. Melihat angka-angka yang tertera itu dada jadi sebak. Tambahan pulak bila ada jiran tetanga yang khabarnya turut positif Covid 19. Aduhai... sedih rasa hati. Tapi itulah, dalam membaca berita sana sini, timbul pulak idea untuk menulis dalam diary sebagai kenangan.

Menulis warkah fiksyen bila ilham datang. πŸ˜…

🌿🌿🌿🌿🌿🌿  🌼🌼🌼🌼🌼  🌿🌿🌿🌿

Ucapan salam serta doa dimulakan sebagai pembuka bicara.

Apa khabar Kanda disana? Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang dari Allah swt hendaknya.

Adapun saat ini dinda hanya ingin berbicara meluahkan apa yang dirasa dalam dada. Sepertimana yang telah Kanda ketahui tanah air kita ini masih lagi diserang penyakit Halimunan. Bahaya sungguh penyakit itu, sungguhlah dinda berasa walang kerana ramainya rakyat yang telah diserang. Ada yang telah terkorban nyawa. Adinda menerima perkhabaran duka ini dari sidang pembesar bergelar. Untuk hari ini sahaja khabarnya lapan ribu lebih rakyat diserang halimunan. Yang terkorban atas serangan sudah seratus lebih. Manakan hati tidak hiba mengenang akan bala yang menimpa.

Ramai rakyat berkeluh kesah takutkan halimunan dan mencari rezeki menjadi serba payah. Entah apalah yang diperbuat oleh memanda menteri semua dan para pembesar bergelar. Ada yang buta dan tuli agaknya. Namun mujur ada juga sesetengah dari mereka berlapang dada dan ringan tulang. Tidaklah semua rakyat terputus bekalan makanan.

Kanda, maafkan dinda kerana lama tidak mengirim berita. Ketahuilah Kanda, bahawa dinda sihat sejahtera sahaja. Semoga Kanda di seberang sana pun begitu juga. Bagaimana keadaan di tanah jajahan Romawi? Adakah Kanda turut sama menepung tawar dan menurunkan ilmu Pawang disana? Apapun yang Kanda lakukan, jagalah diri supaya tidak diserang oleh penyakit Halimunan ini.


Bunga Kemuning Bunga Kenanga

Diwaktu malam harum baunya

Semoga diberi kekuatan jiwa

Melawan penyakit tak nampak dimata

 

Dinda sudahi warkah ini dengan doa agar Allah swt memelihara kita dari segala penyakit yang berbahaya.

Sekian sahaja untuk kali ini.

 

Dinda yang jauh,

Tun Melati Putih


Fiksyen-Tun Melati Putih memberi pesan

Warkah ini dinda utuskan untuk memberi khabar kepada Kekanda di seberang sana tentang apa yang telah terjadi kepada tanah kelahiran kita.  Moga kehadiran warkah ini mengembirakan hati kanda. 

Maka setelah sekian lama berteka teki Bendahara pun menyebutlah akan nama pembesar yang dilantik untuk mentadbir negara setelah mendapat perkenan Istana.

Ketika ini tiadalah upaya dinda untuk meneka  bagaimanakah nanti masa depan negara.  Biarlah pembesar bergelar itu menyusun kerja. Janganlah pula ada antara mereka yang membuat onar serta angkara.  

Burung Serindit hinggap di dahan
Dahan Tanjung di dalam taman
Ikutlah Al Quran,  Sunnah serta pesanan
Semoga negara kembali aman

Dinda ingin menitip pesan pada pembesar bergelar.  Tugas pembesar amatlah berat. Salah hemat menanggunglah di akhirat.  Amanahlah kalian semua dalam menjaga hak rakyat. 

Kanda yang jauh dimata, 

Adapun rakyat sekarang ini merasa nestapa kerana ada antara mereka telah di timpa bala penyakit berjangkit.  Kata orang,  Covid-19 nama wabaknya. Sungguhlah dinda merasa gusar di dalam dada. Semoga ada Tabib yang bijaksana dapat menyembuhkan mereka. 

Dinda sudahi warkah ini dengan ucapan salam dan doa agar kanda juga dapat menjaga diri.  Dengarnya wabak ini telah menular sekitar benua.  Berhati-hatilah kanda disana. Semoga Allah swt menyelamatkan kita semua. Aamiinn.... 

Dinda, 
Tun Melati Putih


Ceritera 1

Pagi itu tidak seperti pagi hari yang lain. Puteri lebih banyak diam. Dia mengelamun dan membiarkan hatinya berbicara. Mengenang sejarah silam. Mengenang seseorang yang pernah melewati taman indah dijiwanya. Hatinya kini gundah. Berasa sedikit resah memikirkan kenapa dia harus terkenang pada peristiwa lalu. Kenapa setelah bertahun-tahun dilupakan hatinya kembali menjadi rindu. 

“Arrggghhhh……….sakit sungguh rindu ini.” 

Puteri bermonolog sendirian. Dia seakan-akan terdengar-dengar suara itu. Suara yang selalu menceriakan hatinya disatu ketika dahulu. Suara yang selalu memanjakan dirinya. Suara itu selalu melayan karenah dia bagaikan seorang puteri dari kayangan. Ya, puteri kayangan yang mabuk perasaan dengan seorang pahlawan dari negeri Antah Berantah. Padahal Puteri bukanlah dari keturunan raja. Jauh sekali dari salasilah keturunan istana. Puteri hanyalah seorang gadis desa yang menetap dihujung Tanjung. 

“aduhai….ingin rasanya memetik bintang didada langit menjadi obor cahaya untuk mencarimu Pahlawan”. 

Puteri terus berkata-kata dalam diam. Puteri sedar hatinya sedang merindu suara itu. Namun dia tak mungkin dapat mendengar suara itu lagi. Pahlawan yang dikenangnya telah pun ditawan oleh Istana Kesaktian ketika Sang Pahlawan tenat dimedan perang. Tanpa puteri sedar selama ini Permaisuri Istana Kesaktian telah berusaha sedaya upaya memberi bantuan hikmat dan merawat hati rawan Pahlawan yang akhirnya membuatkan Pahlawan melupai puteri serta jatuh kasih pula kepada Permaisuri itu. 

Puteri tahu akan kedudukan dirinya. Tidak mungkin dia dapat bersama dengan Pahlawan. Umpama langit dengan bumi jika boleh dibuat bandingan untuk mengambarkan hubungan kasih mereka. Puteri membawa hati dan meneruskan kehidupannya dihujung Tanjung tanpa memikirkan lagi tentang si Pahlawan. Namun pagi itu, segalanya tentang Pahlawan kembali bermain dalam kotak fikiran Puteri. Puteri lelah kerana terperangkap dalam tembok perasaan yang dibina sendiri. Dia tidak sanggup untuk merobohkan tembok itu. 

Puteri akhirnya keluar mencari Sang Pendita. Dari khabar yang dibawa orang ketika melewati pasar sehari di hujung Tanjung, Sang Pendita itu terkenal dengan ilmunya. Dia diberitakan handal sekali dalam ilmu perubatan. Puteri ingin mencuba nasib. Mungkinkah Sang Pendita boleh menyembuhkan rasa sakit rindunya pada Pahlawan selama ini. Puteri tidak ingin pergi ke Istana Kesaktian berjumpa dengan Pahlawan kerana puteri tahu Permasuri Istana Kesaktian akan memasang pagar sakti dan tidak akan membenarkan sesiapun berjumpa dengan Pahlawan. Memegang pagar istana sahaja akan membuat seseorang jatuh sakit selama beberapa purnama. Itulah berita yang didengar orang diluar Istana. Puteri tidak ingin jatuh sakit. Cukuplah rasa sakit yang ditanggung selama ini. Jantung umpama dicarik-carik, tersiat satu persatu sungguh pedih. Hati bagaikan ditikam oleh mata pedang sehingga tertembus ke belakang. Benarlah kata pujangga, sakit sungguh menangung rindu. 

“ Wahai Pendita yang bijaksana, bolehkah Pendita menolong hamba?” 

Puteri memohon pada Sang Pendita agar disembuhkan penyakit yang melanda dirinya. Sang Pendita mendengar segala keluhan dan ratap hiba si Puteri. Akhirnya si Pendita pun bersuara. 

“Duhai anakanda Puteri, sakitmu ini tiadalah sakti. Namun jika dibiarkan menjadi api. Akan membakar dirimu sendiri”. 

“Tapi Pendita, mengapa sakit menjadi luka, luka bernanah sungguh berbisa?” 

Puteri terus bertanya dan airmata tiada tertahan olehnya. Mengalir laju seperti air terjun di Pergunungan Sepiso. Pendita yang arif lagi bijak itu terus memujuk dan menasihati Puteri bermohon doa pada yang Esa. Penjaga Alam Buana supaya hatinya kembali tenang. Pendita juga memberi beberapa nasihat agar luka dihati Puteri itu bisa sembuh dalam waktunya. Dalam senyum Pendita bersuara lunak, mendamaikan hati Puteri yang hiba. 

“Anakanda Puteri, luahkan segala rindu dan amarahmu diatas lembar. Lembar itu tiadalah berharga bila ianya kosong tanpa sebaris kata. Namun lembar yang penuh dengan luahan kata serta rasa menjadi berharga pada si empunya.” 

“Simpanlah jalinan lembar-lembar yang berbaris kata itu sebagai kenangan. Tiadalah guna anakanda berasa hiba mengenangkan Pahlawan”. 

“Adalah lebih baik anakanda berzikir memuji Penjaga Alam Buana agar Tuhan yang masa Esa tidak meminggirkan dirimu. Zikir itu sendiri menjadi ubat serta penawar paling berkesan untuk penyakit hati.” 

“Ini dia zikir yang paling mudah untuk diingat. Sebutlah, Subahanallah, Alhamdulillah serta Allahhu Akhbar selalu. InsyaAllah jiwa mu yang kacau akan tenang setenang air di Danau Toba”. 


 Bagai menerima emas sekarung, hati Puteri kembali berbunga. Tidak disangka nasihat Pendita amatlah mudah bagi dia untuk melakukannya. Tidak perlu memanjat gunung untuk mencari si Anggerik yang pastinya tidak mahu hidup jika ditanam di tanah bendang. Tidak juga perlu ke hutan rimba untuk mencari dedaun dan akar kayu sebelanga yang jika dimasak pun, belum tentu diminum kerana pahit akan rasanya. Kini Puteri telah mendapat semangat baru. 

Dia pulang semula ke hujung Tanjung dengan muka penuh berseri. Puteri pun mula menulis lembar. Kadang menulis, kadang berzikir. Banyak sudah lembaran yang dijahit dengan cantik. Dihias pula dengan bunga kering. Dan akhirnya segala kata-kata yang tertera menjadi hiburan pada Puteri. 


Inilah antara bait-bait kata yang pernah Puteri nukilkan : 

Bagaimana Dapat Aku melupakan Kau yang pernah menakluki Seluruh indera dan jiwaku Bagaimana dapat aku melupakan Kau yang pernah menguasai Fikir dan rasaku Yang berada dihujung kata Yang berkaca dihujung tinta Memenuhi setiap ruang dan rongga Diparas siang dikaki gelita Dalam jaga dalam alpa Bagaimana dapat aku melupakan Kerana aku adalah pesona alam Adalah debunga Dan haruman masa silam Meskipun didalam genggaman Telah terlepas sebutir nilam Kau tetap dalam ingatan Bagaimana dapat aku melupakan....

Watikah buat Kekanda

Kehadapan Kekandaku Tun Mangkubumi Tanah Putih, 

Moga-moga takala ini Allah swt tetap memelihara iman kekanda walaupun kekanda berada jauh dari tanah kelahiran dan tiadalah pula datang gering pada kekanda. Adapun watikah ini dinda kirim dengan harapan agar kekanda dapat membacanya dengan mata hati dan tidak pula menjadi tuli. 

Ampunkan dinda jika ada tersalah bicara dalam sembah ini. Bukan niat dinda untuk menahan tawa gembira kanda disana. Sekadar memberi khabar bahawa Tanah Putih kita ini tidak lagi putih akan tetapi makin bertukar warna menjadi kelabu. Sepeninggalan kanda ke tanah seberang, telah banyak laku yang salah dan tak terperi kejinya dikerjakan oleh memanda-memanda dan juga para pembesar yang lain. 

Ketahuilah oleh kanda bahawa gegak gempita orang-orang bercerita tentang kelakuan buruk mereka. Dinda tiadalah upaya untuk menghukum tapi hati bernanah sakit serta bisa sekali dengan tersebarnya berita itu. Adapun yang paling hina kanda, kini ada dua orang pembesar bergelar diberitakan orang sedang beradu kekuasaan untuk menjadi ketua tanah jajahan timah. Masing-masing ada penyokongnya. Kedua mereka saling mengaku tanah jajahan timah milik mereka. Sedangkan salasilah keturunan Kekandalah yang lebih berhak memberi perintah pada tanah jajahan itu. 

Kedua pembesar bergelar sudahpun mengadap balai pengadilan, namun masih belum bertemu jalan yang benar. Telah berpecah pegangan hulubalang negeri, para sida dan bentara sekelian yang berada disingahsana kerajaan ini kanda. Masing-masing mengikut kata hati sendiri. Tiada lagi muafakatnya rakyat jelata. Sedangkan pembesar bergelar itu asalnya dipilih oleh rakyat semua. 

Bala apa yang menimpa tanah permainan kita ini kanda? Tiada gusarkah hati kekanda melihatnya? Pada hemat dinda adalah lebih baik diserahkan kepada rakyat yang ada untuk membuat keputusan siapa yang patut duduk menjadi pembesar bergelar agar kemudian hari tiadalah lagi boleh didakwa kerana itu pilihan mereka. 

Adinda memohon pengertian kekanda, agar bersetuju dengan bicara dinda ini. Dinda mohon agar kekanda dapat mengatur langkah pendekar agar rakyat merasa tenang serta tenteram dan jual beli dipasar juga dapat berjalan dengan sempurna. Moga-moga selepas ini ramailah orang akan bertandang dan merancakkan jualan ditanah kita. 

Biarlah tanah ini terkenal dengan baik budi rakyatnya, aman sentosa alam buananya, untung perniagaan pasarnya, bukanlah hanya kelakuan pembesar yang menjadi umpat dan nista. 

Akhir kalam, segeralah kanda pulang ke tanah kelahiran. Selain rindu dan dendam, biarlah kepulangan kekanda menjadi pedoman arah agar memanda yang ada tidak lagi terlebih pandai mengarah tanpa perintah dan usul periksa yang menyebabkan rakyat merasa derita. 

Dinda yang jauh dimata, 

Tun Melati Putih

Keluh Kesah Tun Baiduri

Tun Angsana membelai rambut Tun Baiduri yang ketika itu dihembus bayu petang yang mendamaikan lalu berkatalah Tun Angsana kepada isterinya yang tercinta setelah beliau mendapati isteri yang dikasihi telah hilang senyum serinya.
Tun Angsana : "Wahai Adinda permata jiwa, mengapakah adinda sehari dua ini Kanda lihat bermuram durja? Khabar duka apakah yang telah hadir menganggu dinda?"
Tun Baiduri : "Kanda Angsana, maafkan dinda jika perlakuan dinda mengundahkan hati kekanda. Bukan derita jiwa yang bertapa cuma adinda terbawa rasa dengan kejadian diluar sana."
Tun Angsana : "Gerangan apa yang berlaku hingga dinda demikian rupa?"
Tun Baiduri : "Dinda berasa nestapa kerana kediaman warisnya memanda menteri dimusnah alam kanda. Keponakkan memanda itu umpama hilang jiwa, ratap dan tangis sahaja." Tun Lebah itu kini mengamuk marahkan pihak istana dan mengata-ngata kerabat semua".
Tun Angsana : "Hilang akalkah Tun Lebah itu? Angkara Alam nak disalahkan istana? Bukannya Raja ada kuasa menentang Alam".
Tun Baiduri : "Entahlah Kanda, Panglima Laksamana serta hulubalang semua telah memerah keringat membantu sedaya upaya. Namun masih diumpat nista".
Tun Angsana : "Umpama tidak bersyukur sahaja lagaknya si Tun Lebah. Nyawa masih melekat dibadan, masih berupaya untuk sujud pada yang Esa. Emm... Apa pula kata pihak Istana? Tidakkah akan mengundang murka paduka Raja?"
Tun Baiduri : "Khabar yang dibawah Tuan Puteri kepada hamba, para pembesar bersetuju untuk mencari cerdik pandai tukang agar dapat dibina kediaman baru Tun Lebah. Hingga kini belumlah lagi diketahui tapak mana yang mahu dipasak."
Tun Angsana : "Khabarkan lah pada Tun Lebah dan juga hamba sahaya jua, andai meletak tiang seri untuk berlindung cuaca alam, janganlah digangu pasak bumi yang ada. Takut-takut kejadian sama menimpa."
Tun Baiduri : "Memang benar kata Kanda, namun apalah daya kita, hanya boleh bersuara sahaja. Kata putus ditangan mereka. Andai ditimpa musibbah, bermunajatlah kepadaNya. Moga-moga hati tak leka. Allah swt tetap menjaga kita".
Tun Angsana : "Duhai Dinda, usahlah lagi berasa pilu. Satu hari nanti pasti amuk Tun Lebah berlalu. Lambat laun sejuklah amarahnya itu. Semoga memanda menteri dapat memujuk, melentur akan Tun Lebah."

Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt   Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan...