Untuk Dia yang baik budi...


Salam.

Diary kembali lagi bercerita setelah lama bertapa. Hahaha…bukan bertapa dalam gua tapi selalunya tak punya masa untuk menaip dan berceloteh dalam diary maya. Kali ini terasa ingin berkongsi perasaan.

 

Biarpun orang sekeliling seperti tiada jiwa, namun sekeping hati terasa juga sedihnya apabila seorang Ketua yang baik menamatkan perkhidmatan makan gaji di tempat sama. Jarang sekali mendapat ketua yang berbudi seperti dia. Sekali sekala kena marah itu kan perkara biasa. Janganlah difikir akan buruknya sahaja. Jika memandang akan baik budi pasti jasa dan ilmu yang dicurah dikenang orang.

 

En. Google memberi pantun, sesuai sekali di kongsi Diary.

 

Jentayu Burung Jentayu

Hinggap dibalik pokok Mayang

Bunga kembang akan layu

Budi baik tidak kan hilang

 

Cuti hujung minggu semalam mengambil kesempatan untuk mencari cenderhati sebagai tanda kenangan. Bertemankan anak daraku yang pulang bercuti dari Raub, kami menapak sekitar Pasar Seni dalam hujan petang. Akhirnya mata terpaku pada sebuah lukisan cat minyak yang cantik sekali. Buat lawak dengan anak dara “Kalau untuk rumah sendiri dengan harga macam tu, belum tentu mama nak beli kan…” Rasanya lukisan itu sesuai dengan dia, seorang perempuan yang berjawatan tinggi dan masih solo. Semoga ketika hatinya sedang gundah ditempat baru, lukisan itu mampu untuk menenangkan kekusutan fikiran. Apalah sangat nak di banding dengan harga sebuah lukisan jika diukur dengan budinya seseorang.

 

Orang mengail di Kuala Daik

Dapat seekor Ikan Duri

Sudah terkenang budi yang baik

Jatuh tersimpan di dalam hati

 

Semoga Allah swt merahmatinya dalam setiap urusan beliau. Semoga beroleh kejayaan dunia dan kejayaan akhirat.

 

 

 

Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt   Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan...