Aku mencari namamu
Dalam kepulan awan
Yang hilang ketika hujan turun
Aku mencari namamu
Dalam rintik hujan
Yang kelam dan hilang
Ketika sinar Mentari munculkan diri
Aku mencari namamu
Pada sinar Pelangi di kaki langit
Yang ku temui
adalah warna warni kehidupan
Kau sumber ilham
Ketika mengingati mu
Ku catit Aksara dalam diary kenangan
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Lama sungguh tidak menulis. Bila
ilham datang kenalah tulis cepat-cepat dan simpan dalam diary maya. Manalah
tahu kan, suatu hari nanti boleh kumpul semula semua puisi yang tertulis dalam
blog dan bukukan untuk tatapan ahli keluarga. Hahaha…berangan dulu.
Angan-angan nak bukukan puisi, petua dan resepi. Entah bila akan menjadi realiti tak tahulah. Ada beberapa puisi yang dulu pernah tulis secara contengan, lepas tu tak sempat simpan dalam blog akhirnya hilang begitu sahaja. Buku conteng-conteng pun dah tak ingat letak dimana. Jadinya bila ilham datang secara tiba-tiba, kena cepat-cepat salin dalam blog dan simpan jugaklah dalam muka buku sebagai tanda ilham dan tulisan itu hak empunya diri.
Bila diary bercerita, hanya luahan peribadi untuk kenangan kemudian hari. Sekarang sudah tidak banyak punya masa senggang untuk berlama-lama di alam maya dan membaca contengan dinding orang lain dalam laman muka buku. Mendapat berita terkini ketika sesekali membaca dari ciapan kicauan burung di telefon bimbit. Membaca luahan anak muda di situ yang kadang tiada segan silu mengingatkan diri sendiri untuk lebih berhati-hati untuk menulis.
Pesanan pada diri, menulislah dari hati namun sentiasalah berpada-pada agar tulisan tidak menjadi penambah dosa.