Covid19 dan Hari Raya hilang serinya....


Hari ini 3 Jun 2020 bermakna sudah sebelas Syawal. Masih dalam bulan Raya kata orang. Tapi disebabkan penyakit Covid19 yang melanda dunia, Aidilfitri pada tahun ini terasa begitu suram. Hari Raya yang saban tahun disambut dengan begitu gembira oleh rakyat Malaysia kali ini sambutannya amatlah berlainan sekali. Pihak Kerajaan tidak membenarkan rakyat merentas negeri berjumpa kaum keluarga demi menyekat penularan penyakit. Maka ramai anak-anak yang berduka cita kerana tidak dapat bertemu ibu bapa dan kaum keluarga yang lain. Hanya pada Hari Raya pertama sahaja  pihak berkuasa memberi kebenaran untuk berhari raya berkunjung ke rumah kaum keluarga yang berdekatan , itupun tidak melebihi 20 orang. Sedih kan…

Sudah seminggu berhari raya dirumah sahaja. Rata-rata rakyat Malaysia sudah boleh menerima suasana baru. Tiada istilah ‘Open House’ kali ini. Berhari raya hanya untuk keluarga sahaja. Aktiviti anak-anak pada hari raya hanyalah makan, minum, menonton siaran television, bersembang ditelefon gengam ditangan masing-masing, menghadap laptop dan bila bosan, mata pun terpejam.

Inilah nanti menjadi kenangan beraya tahun 2020. Semoga tahun depan dan tahun-tahun seterusnya kita semua boleh kembali kepada situasi normal. Setakat hari ini PKPB yang diumumkan oleh pihak Kerajaan Malaysia sehingga 9 Jun 2020. Tidak pasti sama ada PKPB ini akan disambung lagi ataupun tidak. Semua orang menanti pengumuman kerajaan dan berdoa agar semuanya kembali seperti sediakala.
Mungkinkah? Sedangkan setiap hari masih ada kes Covid19 yang baru.

Anak-anak masih lagi tidak dibenarkan ke sekolah. Pembelajaran pun terganggu. Belajar secara dalam talian? Pun ada kesukaran juga. Tak kan lah setiap hari ibu bapa bertukar sifat menjadi Singa untuk mengajar anak. Anak-anak pun pandai komplen dan mengomel apa yang diajar ibubapa tak sama dengan cara Cikgu Sekolah mengajar. Hmmm……  Yang bekerja ketika PKPB ini pun terasa tempias susahnya mengurus pekerjaan. Bekerja dari rumah? Mungkin indah dan seronok bagi sesetengah orang dan tidak bagi orang lain. Bukan semua jenis pekerjaan dapat diselesaikan dirumah. Dan bagi peniaga yang sebelum ini berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam contohnya, mereka terasa sukar untuk mencari pendapatan. Berniaga secara dalam talian? Bagi orang muda dan celik IT mungkin tidak sesukar mana. Bagaimana dengan nasib golongan veteran atau mereka yang sukar mengakses data internet?

Memang betul apa yang orang tua-tua dahulu berkata ‘Penyakit datang macam ribut, perginya macam semut’ Covid19 ini entah bila akan berakhir atau lenyap dari muka bumi pun tiada siapa yang mengetahui. Apa yang penting sekarang, kita semua kena lebih berjaga-jaga demi kesihatan diri sendiri dan kaum keluarga.

Diary bercerita meluahkan apa yang dirasa. Terimakasih kepada yang sudi membaca.

Belum terlambat lagi untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada semua muslimin dan muslimat.


No comments:

Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt   Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan...