Kehadapan Kekandaku Tun Mangkubumi Tanah Putih,
Moga-moga takala ini Allah swt tetap memelihara iman kekanda walaupun kekanda berada jauh dari tanah kelahiran dan tiadalah pula datang gering pada kekanda.
Adapun watikah ini dinda kirim dengan harapan agar kekanda dapat membacanya dengan mata hati dan tidak pula menjadi tuli.
Ampunkan dinda jika ada tersalah bicara dalam sembah ini. Bukan niat dinda untuk menahan tawa gembira kanda disana. Sekadar memberi khabar bahawa Tanah Putih kita ini tidak lagi putih akan tetapi makin bertukar warna menjadi kelabu.
Sepeninggalan kanda ke tanah seberang, telah banyak laku yang salah dan tak terperi kejinya dikerjakan oleh memanda-memanda dan juga para pembesar yang lain.
Ketahuilah oleh kanda bahawa gegak gempita orang-orang bercerita tentang kelakuan buruk mereka. Dinda tiadalah upaya untuk menghukum tapi hati bernanah sakit serta bisa sekali dengan tersebarnya berita itu.
Adapun yang paling hina kanda, kini ada dua orang pembesar bergelar diberitakan orang sedang beradu kekuasaan untuk menjadi ketua tanah jajahan timah. Masing-masing ada penyokongnya. Kedua mereka saling mengaku tanah jajahan timah milik mereka. Sedangkan salasilah keturunan Kekandalah yang lebih berhak memberi perintah pada tanah jajahan itu.
Kedua pembesar bergelar sudahpun mengadap balai pengadilan, namun masih belum bertemu jalan yang benar. Telah berpecah pegangan hulubalang negeri, para sida dan bentara sekelian yang berada disingahsana kerajaan ini kanda. Masing-masing mengikut kata hati sendiri. Tiada lagi muafakatnya rakyat jelata. Sedangkan pembesar bergelar itu asalnya dipilih oleh rakyat semua.
Bala apa yang menimpa tanah permainan kita ini kanda? Tiada gusarkah hati kekanda melihatnya? Pada hemat dinda adalah lebih baik diserahkan kepada rakyat yang ada untuk membuat keputusan siapa yang patut duduk menjadi pembesar bergelar agar kemudian hari tiadalah lagi boleh didakwa kerana itu pilihan mereka.
Adinda memohon pengertian kekanda, agar bersetuju dengan bicara dinda ini. Dinda mohon agar kekanda dapat mengatur langkah pendekar agar rakyat merasa tenang serta tenteram dan jual beli dipasar juga dapat berjalan dengan sempurna. Moga-moga selepas ini ramailah orang akan bertandang dan merancakkan jualan ditanah kita.
Biarlah tanah ini terkenal dengan baik budi rakyatnya, aman sentosa alam buananya, untung perniagaan pasarnya, bukanlah hanya kelakuan pembesar yang menjadi umpat dan nista.
Akhir kalam, segeralah kanda pulang ke tanah kelahiran. Selain rindu dan dendam, biarlah kepulangan kekanda menjadi pedoman arah agar memanda yang ada tidak lagi terlebih pandai mengarah tanpa perintah dan usul periksa yang menyebabkan rakyat merasa derita.
Dinda yang jauh dimata,
Tun Melati Putih
9 comments:
bijaksana sungguh anda menutur kata
rasa sedikit banyak pedasnya
"Kenapakah adinda buat-buat tak tahu yang kekanda ni bukan lagi pekak badak tapi dah pekak paus! Mata kanda pun dah lama buta tak nampak membaca! Yang kanda tahu kanda dapat bergembira lantaklah mereka nak jadi apa, apa kena mengena dengan kanda! Sahabat tidak saudara pun jauh!Asalkan projek yang kanda minta komisyen tu ditambahkan lagi nilai komisyennya ...., maaf kanda sudah merepek ke lain pulak ...," Demikianlah dailog balasan yang dihantar melalui SMS SU Kekanda AishahJamal - aku punya fikir aja! Cuma teringat masa nak masuk tidur tadi!
Indahnya bahasa tuan hamba...
Adindaku Tun Melati Putih,
Tidak usahlah dinda bermuram durja melihat keadaan negeri kita sekarang. Yang paling penting adinda harus bersiap sedia daripada sekarang supaya memaku dan menskru semua kerusi dan bangku yang ada di istana kita supaya mereka tidak dapat mengangkat dan mengheret adinda keluar dari istana sebagaimana yang pernah mereka lakukan kepada anakanda SK tempoh hari. Kanda sungguh risau kini akan keselamatan diri dinda....
hehehe poning gak nak memahami... hehe anyway kim salam saya kepada Kekandamu Tun Mangkubumi Tanah Putih
Kalaulah kja pandai menulis dlm bahasa mcm ni, alangkah indahnya!!
Mince4AM,
Kita patut berbangga dengan bahasa ibunda yang halus sekali bicaranya namun kadangkala tajam menghiris ke jiwa. He..he..
Tuan Seladang,
Muaaahhaaahaaahh....:)
Nafastari,
Bahasa jiwa bangsa.
Sayangnya ramai orang melayu sekarang tidak lagi mahu menggunakan bahasa sendiri.
Tuan Anonymous,
He..he..he.. :)
Baginda Reformasi,
Terpegaruh dengan buku lama 'Sejarah Melayu' dan juga cerita-cerita hikayat, maka cubalah menulis dengan bahasa sebegini.
Kak Ja,
Saya pun taklah pandai sangat. Saja suka-suka je. Seronok bermain kata dengan bahasa melayu kita.
Post a Comment