Kami redha dengan pemergian mu. Semoga rohmu tenang disana.

Catitan kenangan buat arwah adik iparku W Ahmad Fadzil bin W Mohd atau lebih dikenali dengan nama Nafastari dalam dunia bloggers.


Arwah adalah merupakan seorang yang baik tingkah lakunya, amat berbudi bahasa, sentiasa menghormati sahabat-sahabatnya, menghargai ipar-duai serta saudara maranya. Dan amat menyayangi keluarganya. Saat ini masih lagi terbayang-bayang akan wajah dan senyumanmu dik.


Malam selasa 1hb Mac yang lalu ketika Abang Asri pulang kerumah dan memberitahu tentang kemalangan yang menimpa dirimu, akak rasa seolah-olah tak mampu untuk berdiri namun akak kuatkan semangat. Akak cuba untuk tenangkan Abg Asri kerana akak tahu dia akan keluar rumah untuk pergi menjemput adik-adik yang lain termasuk kembar mu Lutfi. Ya Allah, engkau selamatkanlah adikku. Itu doa yang pertama akak ucapkan setelah abg asri keluar rumah.


Hampir pukul 12.00 malam akak terlihat status dalam FB yang ditulis oleh Abg Sabri mengatakan kau telah kembali kepadaNya. Ya Allah, saat itu airmata tak tertahan lagi. Anak-anak yang sama-sama membaca status tersebut kehilangan kata-kata. Akak cuma mampu meminta anak-anak sedekahkan bacaan al-fatihah padamu. Akhirnya mereka tertidur dalam sendu.


Pukul 2.30 pagi akak akhirnya menguatkan diri untuk menulis didalam blog tentang pemergianmu yang telah dijemput oleh Illahi. Dan akak juga mendoakan agar kembarmu Pie bersama abg asri selamat dalam perjalanan menuju ke kampong. Dan akak terkenangkan Nur, isterimu serta Nadaa dan Marwa yang masih kecil. Ketika itu akak masih tidak pasti bagaimana keadaan mereka.


Akak tidak ditakdirkan oleh Allah swt untuk menatap wajah terakhirmu dik. Rasa sedih sangat. Akak difahamkan yang jenazahmu telah dibawa pulang ke rumah ketika bercakap dengan Abg Asri melalui telefon pada pagi 2hb. Akak ada bertanyakan tentang keadaan Nur, Nadaa dan Marwa. Mereka selamat. Abg Asri sentiasa memaklumkan pada akak tentang perkembangan di kampong sehinggalah jenazahmu selamat dikebumikan.


Paa,

Allah swt lebih menyayangi mu walau sedalam mana kasih sayang kami kepadamu. Kau seorang yang istimewa dik. Kau selalu menceriakan keluarga. Selama hampir 15 tahun akak mengenalimu kau tidak pernah mengecewakan keluarga. Tentunya Chek, Ayah dan adik-beradikmu amat berbangga dengan kejayaan yang kau kecapi. Akak masih teringat disaat kau ingin meminang Nur, kau sungguh bahagia ketika itu. Akak rasa akaklah orang yang paling sibuk menguruskan persiapan hantaran peminangan tersebut. Sungguh gembira melihat kau bahagia dik. Kemudian semasa hari pernikahanmu, kak Olin pula telah bertungkus-lumus menyiapkan segala keperluan untuk majlis tersebut. Kami gembira untuk menerima dan menyambut kehadiran orang baru ke dalam keluarga besar kita.


Paa,

Sebagai iparmu, akak sungguh berasa terharu kerana kau tidak pernah sekalipun menganggap kami ini sebagai ipar. Kau menganggap kami sebagai kakak-kakakmu sendiri. Sungguh mulia hatimu dik. Banyak yang kau kongsi bersama kami. Layananmu terhadap anak-anak buah sungguh mesra dan erat. Pastinya semua anak-anak buahmu akan merindui dirimu.


Paa,

InsyaAllah zuriat kau tidak akan kami sia-siakan. Ianya adalah amanah yang telah kau tinggalkan agar ikatan kasih sayang itu terus subur. Akak percaya Nur, isterimu akan memberi sepenuh kasih dan sayangnya untuk Nadaa dan Marwa. Dia ibu yang baik. Isteri yang solehah. Bertuahnya mu dik kerana memilih Nur untuk menjadi teman, sahabat, isteri dan ibu kepada anak-anakmu.


Nur,

Walaupun arwah Paa telah tiada lagi, ikatan persaudaraan kita tidak pernah putus. Ingatlah Nur, kami sentiasa ada disini. Kita tetap bersaudara dunia akhirat. Semoga kau terus tabah ye dik. Allah menduga mu kerana DIA tahu kau boleh mengharungi ujian ini. Semoga Allah swt mempermudahkan segala urusanmu kelak. Akak tetap mendoakan yang terbaik untukmu.


Ada waktunya nota catitan ini terhenti kerana tak mampu untukku menulis lagi. Airmata tak boleh nak disekat-sekat. Ianya mengalir laju. Betapa akak rindu padamu dik. Kita tak sempat untuk berjumpa ketika kau pulang ke Malaysia kali ini. Membaca kembali catatanmu didalam wall FB serta blogspot menambah rasa sayu. Kau punya Aura yang tersendiri. Begitu ramai yang menyayangimu diluar sana.


Selain daripada blog Nafastari, kau juga telah membuka satu lagi blog yang khusus menceritakan tentang zaman kanak-kanakmu ketika di kampong, Setiu. Trengganu. http://membesardisetiu.blogspot.com
Akak percaya blog ini akan sentiasa dibuka oleh saudara-mara kita walaupun entri terakhir dalam blog tersebut pada 9 August, 2010. Banyak catitan didalam blog ini akan menjadi memori paling indah untuk dikenang.
Kau juga telah berusaha untuk membuka satu lagi laman didalam wordpress khas untuk anak-beranak Wan Mohd. (Bari Rumah Kita) http://wmohdbari.wordpress.com
Cerita terakhir disini juga semasa April 2009 hanyalah nota tentang kelahiran Rafiq. Semuanya kau lakukan demi untuk mengeratkan ikatan keluarga kita. Akhirnya kita lebih dekat dan lebih mudah berhubung melalui Facebook. Macam-macam yang kita ceritakan diruang maya ini. Dalam FB tidak terasapun yang kau jauh beribu batu di perantauan. Paa, disatu ketika nanti, anak-anakmu pasti akan membaca blog-blog ini. Mungkin telah ditakdirkan anak-anakmu akan lebih mengenalimu melalui tulisan serta nota yang telah kau tinggalkan.


Paa,

Kami redha dengan pemergianmu. Bersemadilah dengan aman dik. Semoga rohmu tenang disana. Ya Allah, engkau ampunilah dosa adikku, lapangkanlah kuburnya. Jadikanlah kuburnya taman-taman syurga. Ya Allah engkau angkatlah rohnya ke tingkat yang paling tinggi disisiMu. Amin. Amin. Ya Rabil alamin……


Al fatihah.

11 comments:

wanahaf said...

kehilangannya amat dirasai sekali.terutama bagi kaum keluarga yang dekat seperti kita.. pergilah dengan tenang..inyaallah jumpamu di sana.

Bila Diary Bercerita said...

Wanahaf,

Dia hilang dimata, namun tetap berada dalam hati kita buat selamanya....

dhuat79 said...

Wanahaf, Aishah Jamal, memang Pa seorang yang baik... kehilangannya sangat dirasakan... Dia memang 'adik' saya.

KNizam said...

salam takziah buat keluarga arwah ya. al-fatihah. kami di islamabad juga amat terasa kehilangan arwah.

intan morsalin said...

al-fatihah...sya ade baca dlm metro ttg eksiden ni..mmg sedey..sya pon khilangan adik sdiri di bln rmdhn thn lalu..tmpat eksiden pon di setiu jgk..n kg halaman sya di setiu..mmg perit kak..arwah adik sya mnggalkan ank berusia 5 bln ktika kjadian tu...skrg ank dia bru nak mncapai usia sthn...
smpai skrg sya lom mmpu aku mnceritakan saat2 terakhir bsama arwah adik sya...slm pknalan..jemput sggh di intanafis.blogspot.com...tqvm

Bila Diary Bercerita said...

dhuat79,

Arwah dipinjamkan sementara kepada kita oleh Allah swt. Kita akan sentiasa mengenang akan budi dan kasih sayangnya.


KNizam,

Memang kita terasa akan kehilangannya. Namun ingatan terhadap arwah kekal dalam diri kita.


intan morsalin,

Memang pedih dan pilu apatah lagi bila memikirkan tentang warisnya yang masih kecil. Apapun yang berlaku, Allah swt jualah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.

En Joe Cikgu Yang Garang ^^ said...
This comment has been removed by the author.
En Joe Cikgu Yang Garang ^^ said...

allayarham seorang insan yang terpuji... izinkan saya mengambil sedikit cebisan penulisan anda... http://joeipsm.blogspot.com/2011/03/salahkah-aku-menangis.html

Bila Diary Bercerita said...

En. Joe,

Saya tiada halangan. Arwah memang baik dan sentiasa berada di ingatan.

Hamba kerdil said...

diri ini btul2 terasa kehilangan seseorg yg brmkna dlm hidup wlpun cuma mengenali arwah di dunia blog.. Al-fatihah utk arwah...

Bila Diary Bercerita said...

Hamba Kerdil,

Terimakasih kerana mengingati arwah walaupun anda tidak pernah bersua muka dengannya.

Menjaga aib dan menjaga hukum Allah swt

 Menjaga Aib dan menjaga hukum Allah swt   Semenjak dua menjak ini, dalam laman sosial bertebaran cerita dosa dan aib manusia disebarkan...